JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membatalkan atau menggantung permit institut memandu sekiranya ramai pemegang lesen yang dilatih mereka didapati melakukan kesalahan trafik dan terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim, berkata langkah itu akan dilaksanakan dengan meletakkan kod pada lesen yang dikeluarkan bagi mengesan daripada institut memandu mana pesalah trafik itu menerima latihan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kaedah itu masih dalam peringkat cadangan dan dijangka disenaraikan di bawah sistem e-Testing yang bermula di seluruh negara April tahun ini.
“Kita akan buat satu jejak audit apakah kesilapan atau apa-apa yang tidak betul sama ada infrastruktur yang tidak lengkap atau apakah sebab hingga disaman dan dibuat dalam konsep pendigitalan JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup kursus pensijilan pengajar institut memandu (SPIM) di Akademi Memandu Anda Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut Zailani berkata, berdasarkan rekod sedia ada terdapat 10,569 pengajar SPIM di Malaysia disijilkan selari dengan Kaedah 11 (4) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.
“Bagaimanapun terdapat lebih kurang 1,779 permohonan tertunggak yang masih belum diselesaikan akibat daripada sekatan aktiviti program seperti pelaksanaan kursus, seminar, bengkel, latihan dan ceramah yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia dan JPJ sebanyak 80% punca kemalangan jalan raya sebabkan faktor kecuaian manusia.
Katanya, kebanyakan yang terbabit dalam kemalangan adalah motosikal iaitu lebih 60%. – Bernama, 30 Januari, 2022.
Komen