Beijing lapor kes Covid-19 tertinggi sejak Jun 2020


China akan mengadakan Olimpik Musim Sejuk dalam gelembung 'gelung tertutup' yang ketat sebagai sebahagian daripada strategi sifar-Covid. – Gambar EPA, 30 Januari, 2022.

BEIJING mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi selama setahun setengah pada Ahad, ketika ibu negara China itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk dalam tempoh lima hari.

China akan mengadakan sukan itu dalam gelembung “gelung tertutup” yang ketat sebagai sebahagian daripada strategi sifar-Covid untuk pengurungan bersasar, sekatan sempadan dan kuarantin yang lama.

Pendekatan itu membantu ekonomi kedua terbesar dunia mengekalkan jumlah jangkitan baharu jauh lebih rendah berbanding banyak negara lain, tetapi ia sedang memerangi penularan tempatan di beberapa bandar serta dalam gelembung Olimpik.

Tahun Baharu China yang akan datang juga memberikan cabaran selanjutnya apabila jutaan orang pulang ke kampung halaman mereka dan bergaul dengan keluarga dan rakan-rakan.

Sebanyak 20 kes baharu di Beijing pada Ahad adalah yang tertinggi di bandar itu sejak Jun 2020, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC).

Pihak berkuasa bandar menutup beberapa kawasan perumahan, manakala pegawai di daerah Fengtai—tempat kebanyakan jangkitan pada Ahad dikesan—mula menjalankan ujian saringan kira-kira 2 juta orang untuk virus itu.

Gelembung Olimpik mengasingkan semua individu yang terlibat dalam Sukan itu daripada penduduk China yang lebih luas untuk membendung risiko jangkitan.

Dianggarkan 60,000 orang di dalam gelembung tertakluk kepada ujian harian.

Penganjur pada Sabtu melaporkan 36 kes berkaitan temasya itu, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 100 sejak gelembung itu ditutup pada 4 Januari.

NHC berkata pada Ahad terdapat 54 kes tempatan baharu di seluruh negara, ketika bandar raya timur Hangzhou dan bandar Suifenhe di wilayah timur laut Heilongjiang muncul sebagai kemungkinan menjadi kawasan utama wabak.

Pihak berkuasa China menutup kawasan jiran Beijing minggu ini berikutan beberapa kes yang dilaporkan, tetapi tidak mengumumkan secara terbuka sekatan yang tidak membenarkan kira-kira 1.2 juta orang di Kawasan Baru Xiong’an keluar rumah. – AFP, 30 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen