Kenaikan tarif TNB sukarkan pemulihan perniagaan, kata persatuan


Kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna komersial dan industri akan memberi kesan kepada pemulihan daripada kesan pandemik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2022.

KENAIKAN tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri bermula bulan depan akan menjadi penghalang kepada pemulihan perniagaan yang terkesan akibat Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Persatuan itu menambah bahawa kenaikan itu - antara 11.8 hingga 18.4 peratus - juga akan mengakibatkan kenaikan harga barangan kerana PKS terpaksa meletakkan kos kepada pengguna.

“Walaupun kami memahami keperluan untuk pelarasan berkala dalam harga, kami tidak boleh menerima kuantum atau masanya, terutamanya selepas Tenaga Nasional melaporkan lonjakan hasil 9.6 peratus dan 4.6 peratus masing-masing untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2021 ,” kata pengerusi Samenta Central William Ng dalam satu kenyataan.

“Kami menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk bertindak menyelamatkan PKS yang terkesan seperti yang beliau janjikan.

“Sekiranya kenaikan itu perlu dibenarkan, maka kami menggesa Kabinet untuk mempertimbangkan kuantum kenaikan yang jauh lebih rendah tanpa menjejaskan keuntungan berterusan Tenaga Nasional atau ‘prestasi berdaya tahannya’,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan ada kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri berkuat kuasa 1 Februari, melibatkan lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri.

Ng berkata, bagi kebanyakan PKS, terutamanya dalam sektor pembuatan, elektrik merupakan faktor kos kedua atau ketiga terbesar, di belakang kos bahan mentah dan buruh.

“Kenaikan sehingga 18.4 peratus dalam bil utiliti untuk perniagaan yang berjalan pada margin bawah 10 peratus bermakna pengurangan antara 20 hingga 40 peratus daripada keuntungannya, malah boleh bermakna perbezaan ketara antara membuat keuntungan dan kerugian.

“Sekiranya cadangan kenaikan itu diteruskan seperti yang dirancang, sukar untuk perniagaan menyerap kos yang meningkat tanpa meletakkan sebahagiannya kepada pengguna, seperti yang dilakukan Tenaga Nasional,” katanya.

Samenta, ditubuhkan pada 1986, adalah persatuan tertua di Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana. – 30 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen