PERLU pertimbangan yang teliti bagi mengurangkan had laju kepada 30kmj di Kuala Lumpur dalam usaha menjadikan ibu kota itu lebih mesra rakyat, kata pakar.
Menurut mereka, walaupun pengurangan had laju akan menjadikan bandar raya lebih mesra pejalan kaki, namun ia akan menyebabkan kesesakan di sekitar bandar raya.
Mereka juga berkata kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu dan pemanduan yang cuai, bukan hanya kerana memandu laju.
Ada yang mengatakan selagi Putrajaya tidak membina lorong khas untuk motosikal di bandar raya, kadar kemalangan tidak akan berkurangan.
Prof Madya Dr Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata mengurangkan had laju tanpa pertimbangan sewajarnya akan membawa kepada kesesakan lalu lintas.
“Memandu pada kelajuan 30 kmj adalah bersamaan kelajuan di tempat parkir.
“Impak pada kelajuan ini tidak akan memberi kesan besar kepada pejalan kaki, namun ia tidak praktikal di jalan raya yang sibuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Law berkata sebelum had laju dikurangkan, pihak berkuasa terlebih dahulu perlu menentukan apa yang menjadi punca utama kemalangan.
“Pertama mereka perlu mencari kelemahan reka bentuk jalan raya. Sekiranya terdapat kelemahan pada reka bentuk yang mana kelajuan akan membawa kepada lebih banyak kemalangan, langkah mengurangkan had laju adalah wajar.
Walaupun terdapat lokasi seperti kawasan sekolah, hospital dan pusat beli-belah yang perlu dikurangkan had laju, tiada keperluan untuk mengurankannya hingga 30 kmj.
“Ia perlu bergantung kepada lokasi dan keadaan. Kita tidak boleh hanya menggunakan sahaja peraturan itu.”
Law turut mempersoalkan bagaimana kerajaan akan memastikan kemampanan had laju yang dikurangkan itu.
“Di kebanyakan jalan raya, pemandu sudah biasa memandu pada kelajuan 70kmj atau 80kmj. Apabila tiba-tiba mereka terpaksa memandu pada kelajuan 30kmj, mereka tidak akan biasa dan mungkin tidak mematuhinya.
“Tidak mungkin kita boleh tempatkan polis di setiap jalan untuk memastikan pematuhan. Mungkin lebih baik untuk zon kawasan yang mana had laju dikurangkan.
“Jika langkah yang salah dilaksanakan, ia akan memberi kesan besar kepada trafik.”
Kadar kematian kemalangan motosikal mencapai 70.2% tahun lepas, satu rekod baharu dan meningkat 8.2% daripada tahun sebelumnya.
Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia Wee Hong dan Pengerusi Persatuan Peniaga Motosikal dan Skuter Johor Chen Kim Hock berkata mengurangkan had laju adalah idea yang tidak baik.
Menurut mereka kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu dan bukan had laju.
“Kelajuan adalah faktor kecil. Pemandu mesti dididik tentang keselamatan jalan raya seperti motosikal, mereka hanya perlu berada di lorong kiri dan tidak ke tengah ke tepi.”
Wee mencadangkan lorong khas motosikal sebagai penyelesaian.
“Bas ada lorong khas mereka sendiri mengapa tidak motosikal? Ini akan membantu menyelesaikan masalah.”
Chen juga menyatakan selagi kereta dan motosikal berkongsi lorong yang sama, kemalangan tidak dapat dielakkan.
“Sekiranya penunggang trjatuh daripada motosikal di jalan raya yang sibuk, berkemungkinan besar penunggang itu akan dilanggar kenderaan lain yang akan membawa kepada kematian. Lorong khas motosikal dapat mengelakkan masalah ini.”
Had laju semasa sudah sesuai, kata Chen.
Masyarakat juga perlu lebih kesedaran di jalan raya, tambahnya.
“Pemandu mesti lebih berhati-hati di jalan raya. Jaga jarak yang selamat, jangan memandu di bawah pengaruh minuman keras.”
Wee berkata banyak faktor yang perlu dipertimbangkan untuk keselamatan jalan raya, bukan hanya had laju.
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) sedang dalam peringkat akhir memuktamadkan cadangan had laju standard 30kmj untuk kawasan kediaman, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk 2022-2030.
Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meningkatkan keselamatan jalan raya adalah selaras dengan gesaan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus agar kerajaan di seluruh dunia segera mengguna pakai had laju 30kmj untuk bandar raya.
Malaysia adalah salah satu negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm mengenai keselamatan jalan raya, dengan 18 resolusi, pada persidangan peringkat menteri global pada Februari 2020.
Sebanyak 80 menteri pada persidangan itu berikrar untuk mengurangkan separuh jumlah kematian jalan raya menjelang 2030 dan mencadangkan had laju 30kmj sebagai “norma baharu” di kawasan yang mana penunggang motosikal, pemandu kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal adalah pengguna jalan raya biasa. – 31 Januari, 2022.
Komen