PESURUHJAYA PAS Selangor, Sallehen Mukhyi masih belum mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Azmin Ali bagi membincangkan isu peruntukan mereka.
Azmin berkata beliau telahpun menerima permohonan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS untuk bertemu beliau, namun tidak mendedahkan siapa.
“Belum. Saya telah terima permohonan untuk jumpa, saya akan tetapkan pertemuan, sebab beberapa Adun telah bertemu saya,” katanya ketika ditemui selepas konvensyen Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) di Shah Alam hari ini.
Sallehen dalam satu laporan Berita Harian yang disiarkan 22 Januari lalu mendakwa dimaklumkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri bahawa peruntukan untuk wakil rakyat PAS itu disekat.
Azmin kemudiannya menafikan perkata tersebut dan mengatakan terdapat sedikit masalah yang menyebabkan peruntukan pembangunan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap Adun pada 1 Januari itu mengambil sedikit masa untuk disalurkan kali ini.
Menurutnya, PAS Selangor hanya diberitahu secara lisan dan belum menerima sebarang surat rasmi mengenai sekatan itu.
“Jika benar perkara ini ia adalah tindakan yang tidak wajar,” katanya seperti dilaporkan portal itu.
Adun Sabak itu juga tidak menolak kemungkinan membawa perkara tersebut ke peringkat Istana sekiranya tidak mendapat jawapan daripada kerajaan negeri.
Sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Yunus Hairi berkata, pihaknya akan bertemu Azmin dalam masa terdekat untuk membincangkan masalah itu.
Kerajaan Selangor memperuntukkan RM800,000 kepada setiap Adun dan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen di negeri itu setiap tahun.
PAS kini mempunyai 13 Adun dan seorang ahli Parlimen di negeri itu. – 6 Februari, 2018.
Komen