Kurang autonomi tanah punca Orang Asli tolak penempatan semula, kata pakar


Aminah Farid

Skim penempatan semula yang diperkenalkan kerajaan gagal mengutamakan cara hidup Orang Asli, menurut penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2022.

KEKURANGAN autonomi ke atas tanah yang disediakan kerajaan di bawah skim penempatan semula antara punca utama Orang Asli berpindah dan menetap di tanah tidak diiktiraf atau lebih dikenali sebagai Kg Serpihan, kata seorang aktivis terkemuka Orang Asli.

Dr Colin Nicholas dari Pusat Keprihatinan Orang Asli, berkata kebanyakan skim penempatan semula kerajaan gagal atas beberapa sebab, termasuk pengurusan yang lemah dan Orang Asli sendiri tidak bertanggungjawab ke atas tanah mereka.

“Ia juga disebabkan model pembangunan skim yang lemah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berkata, skim penempatan semula itu gagal mengutamakan cara hidup Orang Asli.

Skim penempatan semula itu mula diwujudkan kira-kira 30 tahun lalu sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengintegrasikan Orang Asli ke dalam masyarakat negara arus perdana dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Sesetengah Orang Asli juga ditempatkan semula kerana kampung tradisi mereka digunakan untuk pelbagai tujuan pembangunan.

“Apabila anda berada di bawah skim pengumpulan semula atau penempatan semula, anda menerima arahan daripada pegawai muda dan berdepan pelbagai sekatan atau peraturan,” katanya.

“Anda sangka anda mempunyai tanah seluas 6 ekar tetapi apabila anda meninggal dunia, tidak dijamin tanah itu akan diwarisi kepada anak anda,” katanya.

Colin berkata,di Pahang pada 2019, purata pendapatan penduduk kampung Orang Asli adalah antara RM200 hingga RM800, iaitu jauh di bawah paras kemiskinan.

“Dan di beberapa kawasan, selama enam bulan, mereka tidak mempunyai pendapatan dan ini adalah projek pembangunan modul untuk Orang Asli,” katanya.

“Selepas 30 tahun dan anda masih mendapat pendapatan seperti ini, apa yang anda harapkan Orang Asli lakukan? Jadi sekarang ramai keluarga Orang Asli tidak menyertai skim ini kerana tanah tidak mencukupi,” katanya.

Di bawah skim penempatan semula itu, ramai Orang Asli ditempatkan di ladang yang mana mereka diberikan beberapa ekar tanah untuk dijaga dan menerima dividen setiap bulan. Dengan ini, mereka juga akan menerima akses asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Bagaimanapun, kebanyakan Orang Asli tidak gembira atau berpuas hati dengan pengambilalihan dan penempatan semula oleh kerajaan.

Antara sebabnya termasuklah pencerobohan hak dan warisan yang menjejaskan budaya, pampasan yang tidak mencukupi, janji yang tidak ditunaikan untuk melindungi kepentingan mereka, lokasi penempatan semula yang tidak sesuai, kehilangan tempat untuk mengamalkan gaya hidup tradisional, kehilangan pekerjaan dan kemahiran tradisional, masalah integrasi, kesukaran menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan notis pemindahan singkat.

Colin berkata COAC menganggarkan terdapat lebih 300 perkampungan Kg Serpihan, terdiri daripada kira-kira 15,000 Orang Asli.

Pada 2019, purata pendapatan penduduk kampung Orang Asli di Pahang dalah antara RM200 hingga RM800, iaitu jauh di bawah paras kemiskinan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2022.

Hilang kelebihan

Pak Soh, 44, yang tinggal di sebuah Kg Serpihan di Pekan, Pahang memberitahu The Malaysian Insight yang beliau berhijrah keluar dari ladang untuk tinggal di tanah tandus supaya dapat membina lebih banyak rumah untuk keluarganya dan mengusahakan lebih banyak tanaman.

“Apabila keluarga kami berkembang, kami perlu membina rumah untuk mereka, dan dengan 6 ekar, ia benar-benar tidak memberi kami banyak ruang untuk menanam apa-apa lagi, sedangkan itu adalah sesuatu yang kami suka lakukan,” katanya.

“Kami, Orang Asli, suka bertani tetapi bagaimana kami boleh melakukannya apabila kami tidak mempunyai tanah yang mencukupi?”

Pak Soh berkata terdapat kira-kira 10 keluarga di sekitar kampungnya yang turut berhijrah untuk mendapatkan tanah lebih luas.

Orang Asli terkenal dengan kehidupan sangat terikat dengan budaya dan tanah mereka. Mereka hidup dalam komuniti dan sistem pentadbiran dipimpin oleh ketua turun temurun.

Penggunaan tanah mungkin berbeza mengikut kawasan tempat tinggal atau cara hidup mereka, tetapi masyarakat ini secara tradisinya mengikut sistem tersebut sejak sekian lama.

Walaupun mereka menjalani gaya hidup nomad, ada yang sudah membangunkan kawasan kediaman mereka dan tinggal di kawasan itu selama beberapa generasi.

Kebiasaannya, apabila keluarga Orang Asli keluar dari skim penempatan semula dan menetap di kampung yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa), mereka akan kehilangan faedah seperti jalan raya, elektrik, air bersih termasuk pendidikan.

Ini biasanya bermakna pada masa krisis, seperti pandemik Covid-19, mereka yang tinggal di Kg Serpihan lebih cenderung terpinggir oleh jabatan dalam sebarang pengagihan bantuan.

Biasanya, kumpulan Orang Asli ini akan bergantung kepada kemurahan hati orang ramai untuk membantu mereka. – 30 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen