Azmin sahkan Pakatan Harapan Selangor mesyuarat isu kerusi esok


Radzi Razak

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Azmin Ali berkata empat parti dalam gabungan itu akan bermesyuarat esok menyelesaikan isu agihan kerusi sebelum PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2018.

EMPAT parti dalam Pakatan Harapan (PH) Selangor akan bermesyuarat esok bagi mencari penyelesaian kemelut pengagihan kerusi kawasan dewan undangan negeri yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata pengerusi gabungan itu, Azmin Ali.

Azmin berkata mesyuarat itu dijalankan atas nasihat Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad untuk berunding mencapai konsensus “demi kemenangan” PH di Selangor.

“Ini semua rundingan seperti yang dinasihatkan pengerusi PH, Tun Mahathir, semua perbincangan dan rundingan mesti berjalan dalam suasana yang tertutup, sehingga satu keputusan dapat dicapai secara konsensus.

“Saya lihat ini perkembangan positif di mana kita akan teruskan rundingan pengagihan kerusi, cuba capai konsensus untuk capai kemenangan pada PRU14,” kata Azmin.

Azmin yang juga menteri besar Selangor ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agong ke-4 dan Konvokesyen Pertama Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) di Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu lokasi mesyuarat tersebut dan hanya menyatakan ia akan berlangsung di Selangor.

Azmin turut mengesahkan mesyuarat itu tidak ada kena mengena dengan pengumuman jawatankuasa khas oleh pemimpin PH pusat sebelum ini sebaliknya ia jawatankuasa perundingan pengagihan kerusi peringkat negeri.

Beliau berkata semua pihak bersetuju menghantar empat wakil untuk mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, Azmin turut menafikan PKR meminta kerusi lebih dalam perundingan sebelum ini hingga menyebabkan pergeseran ini.

“Saya tidak berikan sebarang ketentuan tentang perkara ini kerana benda ini dalam proses rundingan dan. Saya kira semua perkara yang dirundingkan ini perlu dibuat secara tertutup dan muafakat. Ia tidak dapat didedahkan kepada media ketika ini.”

Berkenaan serangan Pengerusi Amanah Izham Hashim dan ahli jawatankuasa DAP Selangor Ronnie Liu yang mempertikaikan kepimpinan Azmin dalam isu ini, beliau menganggap ia perkara biasa.

Beliau berkata semua isu ini merupakan mainan media semata.

“Tak apalah. Saya ni, siapa yang tak attack (serang) saya… Utusan Malaysia, TV3… tapi saya sebagai pemimpin kena sabar, kena tawaduk.

“Utusan (Malaysia) semua masalah… tak mesyuarat masalah. Saya tidak tahu apa Utusan nak. Media Utusan, TV3 saja yang putar belit,” katanya.

Minggu lalu, Dr Mahathir memaklumkan pemimpin PH Selangor sudah bertemu dengannya bagi menyelesaikan pertikaian soal rundingan kerusi negeri.

“Memanglah nak bersetuju empat parti bukan mudah.

“Saya selalu kata bila ada rundingan antara banyak pihak apabila kita dapati tidak ada satu pihak pun yang berpuas hati, bermakna kita adil.

“Parti kami (Bersatu) pun tak puas hati,” kata Dr Mahathir pada Jumaat lepas.

Izham yang sebelum ini dilaporkan menggelar Azmin sebagai “joker”, menegaskan rundingan kerusi belum lagi dimulakan dan mendakwa timbalan presiden PKR itu tidak layak menjadi menteri besar.

Hal itu timbul menjadi perang mulut antara pemimpin peringkat negeri kedua parti dan Izham kemudiannya mendakwa kenyataan itu disalah erti media. – 6 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen