Guru rugi RM22,160 diperdaya Macau Scam


SEORANG guru sekolah menengah di Teluk Intan, Perak kerugian RM22,160 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan dan pihak berkuasa, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri, berkata guru lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada kira-kira jam 10 pagi dengan menyatakan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mendakwa guru itu mempunyai tunggakan bayaran cukai.

Beliau berkata, guru itu menafikan beliau mempunyai tunggakan bayaran cukai lalu panggilan itu disambungkan ke ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu’ untuk membuat laporan polis dan kemudian disambungkan kepada pihak mahkamah kononnya guru itu terbabit dengan pengubahan wang haram.

“Pengadu (guru) kemudian menyerahkan butiran perbankannya iaitu ID bersama kata laluan perbankan dalam talian atas akaun Bank Islam Malaysia Berhad miliknya kepada pihak sindiket dengan alasan untuk memudahkan seliaan dan pemantauan pihak mahkamah.

“Pengadu menyerahkan segala butiran maklumat akaun Bank Islam berkenaan kepada suspek wanita yang dikenali dengan panggilan Jasmine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata, guru itu hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang simpanan dalam akaun banknya dipindahkan secara berperingkat melalui dua transaksi berjumlah RM22,160.

“Pengadu yang berkhidmat sebagai guru selama 20 tahun terus membuat laporan polis petang semalam,” katanya dengan menambah kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama, 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen