PKR tidak akan tinggalkan DAP untuk kerjasama dengan parti lain, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, PKR dan DAP setia dan saling menghormati antara satu sama lain. – Gambar Facebook, 29 Januari, 2022.

PKR tidak akan meninggalkan DAP hanya untuk bekerjasama dengan parti politik lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata presiden parti Anwar Ibrahim.

Selain saling menghormati, Anwar berkata, kedua-dua parti itu setia antara satu sama lain.

“Ada pandangan mahu kerjasama dengan PKR, tetapi mesti tolak DAP, kita tidak boleh terima.

“DAP dan PKR adalah parti utama (dalam Pakatan Harapan) sejak awal lagi dan masing-masing membuktikan kesetiaan mereka jadi saya tidak boleh kata tolak (DAP) sahaja.

“Sekarang kita juga bersama Amanah dan UPKO Sabah. Jika mereka mahu berbincang secara berasingan dengan PKR atau DAP, kita tidak boleh berhenti daripada berbincang tetapi dengan syarat mengatakan tiada DAP atau tiada PKR, itu sukar diterima,” pengerusi Pakatan Harapan itu berkata kepada pemberita di Seremban hari ini selepas satu acara di sana.

Awal minggu ini, Bersatu dilaporkan sedang mempertimbang untuk bekerjasama dengan PKR dan Amanah tetapi tanpa DAP.

Menurut sumber, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan akan dibawa ke mesyuarat biro politik untuk keputusan.

Terdahulu, timbalan ketua Bersatu Johor Bahru Razrul Anwar Rusli turut mencadangkan penubuhan gabungan besar dengan Perikatan Nasional (PN) bergabung dengan PH, Pejuang, Muda dan Warisan dalam menghadapi PRN Johor akan datang.

Razrul berkata, semua parti yang menentang Barisan Nasional (BN) perlu berhimpun di bawah satu kain rentang, sambil menambah ia satu formula yang berkesan pada pilihan raya umum lalu (PRU14).

Beliau berkata, gabungan besar itu boleh dinamakan Muafakat Rakyat Johor atau Gabungan Rakyat Johor, sama seperti gabungan Gabungan Rakyat Sabah yang dibentuk menjelang PRN Sabah pada September 2020. – 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen