KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan 5,139 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari tadi, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Hari ini hari ketiga ketiga berturut-turut angka harian lebih 5,000 kes direkodkan. Sebanyak 5,439 kes dilaporkan pada Khamis, manakala 5,522 kes semalam.
Ketua pengarah kesihatan menerusi Twitter berkata pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 dalam negara kini mencecah 2.86 juta kes.
Pecahan kes baharu mengikut negeri akan dimuat naik di laman web CovidNow selepas tengah malam ini, katanya.
Sementara itu data KKM menerusi laman CovidNow menunjukkan 22,923,144 individu atau 97.9% populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 mereka, manakala 23,200,399 individu atau 99.1% lagi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,787,267 individu atau 88.6% telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,867,165 individu atau 91.1% lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos. – 29 Januari, 2022.
Komen