WALAUPUN PKR dan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan logo berbeza pada Pilihan Raya Negeri Johor akan datang ia tidak akan menjejaskan hubungan rapat, kata Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH itu berkata tiada perkara pelik dalam aturan untuk PRN Johor itu kerana setiap parti pernah memilih menggunakan logo berbeza dahulu.
Beliau memberi contoh PRN Sabah apabila DAP menggunakan logo Warisan dan PKR pula bertanding dengan logonya sendiri.
“Pada 2013 kita menggunakan logo parti masing-masing dan Pakatan Rakyat ketika itu (tetap) kuat.
“Kemudian di PRN Sabah, PKR guna logo Keadilan, DAP guna logo Warisan, tetapi ia tidak jejaskan hubungan antara kami.
“Di Melaka kita guna logo PH dan di Sarawak (guna logo PKR). Jadi hubungan kepimpinan PH masih lagi kuat,” kata ketua pembangkang itu kepada media di Seremban.
Pada Rabu, susulan mesyuarat Majlis Presiden PH, Anwar mengumumkan keputusan PKR menggunakan logonya sendiri pada PRN Johor akan datang.
“Keputusan tentang logo ini konsensus. PKR akan guna logo kami sendiri dan yang lain akan guna logo PH,” kata Anwar.
Ia adalah kali kedua PKR menggunakan logo sendiri di PRN selepas kalah kesemua 28 kerusi ditandinginya di Sarawak bulan lepas.
Anwar mendakwa ada pihak yang menggunakan isu logo berbeza itu untuk mencetuskan masalah antara parti PH.
Jelasnya, keputusan bertanding menggunakan logo parti sendiri itu dibuat selepas mempertimbangkan sentimen pengundi.
“Ada orang yang cuba menggunakan isu logo ini kerana mereka memecah belahkan kami. Tak (tidak akan berlaku).
“Kami ada dasar sama, manifesto sama. Kmeudia jika anda tanya mengapa logo berbeza, ia dah berlaku sebelum pilihan raya 2013 lagi.
“Kemudian pada 2018 kami semua guna logo PKR. Di Sabah ada yang guna (logo) Warisan tetapi PKR guna logo sendiri. Kami guna sebab sentimen pengundi.
“Itu adalah pandangan kami dan bila kami bincangkan, ia dipersetujui. Jadi tiada masalah,” kata politikus berusia 74 tahun itu.
Tambahnya, tidak ada sebab isu logo berbeza dipanjangkan lagi. – 29 Januari, 2022.
Komen