KES aktif Covid-19 kini naik kepada 50,030 selepas Malaysia melaporkan lebih daripada 5,000 kes baharu selama dua hari berturut-turut.
5,522 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam berbanding 3,285 kes pulih, kata Kementerian Kesihatan.
Jumlah kes aktif naik sejak 11 hari lepas disebabkan jumlah kes baharu harian melebihi kes pulih.
Daripada 5,522 kes baharu semalam, 955 kes dimasukkan ke hospital.
Kadar penggunaan hospital seluruh negara jatuh kepada 62.8% semalam berbanding 66% kelmarin.
Penggunaan alat bantuan pernafasan pula naik kepada 34.8% semalam berbanding 34.3% sebelumnya.
Penggunaan katil di unit rawatan rapi juga menyaksikan trend peningkatan, 55.1% berbanding 54.4% dengan 14.8% daripadanya digunakan pesakit Covid-19.
Kadar kemasukan ke hospital menjadi petunjuk keseriusan penularan virus. Kadar ini meliputi penggunaan katil serta jumlah pesakit di dalam ICU dan penggunaan alat bantuan pernafasan.
Selangor melaporkan jumlah kemasukan ke hospital tertinggi sebanyak 241 kes yang meningkatkan jumlah kemasukan hospital di Lembah Klang kepada 307, dengan Kuala Lumpur menyumbang 62 kes kemasukan dan Putrajaya (4).
Johor pula melaporkan 228 kes kemasukan ke hospital, diikuti oleh Sabah (90), Negeri Sembilan (72), Sarawak (63), Kelantan (47), Perak (40), Kedah (35), Pahang (23), Pulau Pinang (18), Melaka (12), Perlis (10) dan Terengganu (10).
Hanya Labuan tidak melaporkan kes baharu kemasukan hospital.

Sementara itu, daripada 5,522 kes baharu dilaporkan semalam, Lembah Klang merekodkan 2,185 atau 39.6% daripada jumlah keseluruhan kes.
Selangor melaporkan 1,656 kes, Kuala Lumpur (480) dan Putrajaya (49).
Negeri lain yang melaporkan kes baharu adalah Johor (704), Kedah (511), Sabah (358), Melaka (357), Kelantan (338), Negeri Sembilan (308), Pahang (276), Pulau Pinang (242), Perak (151), Terengganu (60), Perlis (18), Sarawak (11) dan Labuan (3).
Malaysia turut merekodkan 12 kes kematian disebabkan Covid-19 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak negara ini adalah 31,952 orang.
Daripada 12 kematian baharu itu, satu diisytiharkan sebagai kes kematian di bawa ke hospital (BID). Semua kes kematian semalam adalah kes tertunda.
Tiga kematian masing-masing dilaporkan di Perak dan Johor, dua kes di Pahang dan Sabah, serta satu kes masing-masing di Melaka dan Selangor.
Kes BID pula dilaporkan di Sabah.
Kadar mortaliti virus negara berada pada tahap 0.4% dengan purata dua minggu kematian adalah 42 per 10 juta orang. – 29 Januari, 2022.
Komen