Tidak percaya kerajaan, sains dorong 2% tolak vaksin Covid-19


Ravin Palanisamy

Tidak percaya dengan kerajaan dan sains antara punca menyebabkan sebilangan penduduk menolak untuk menerima vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2022.

MEREKA yang menentang vaksinasi Covid-19 masih bertegas bahawa mereka tidak memerlukan perlindungan malah ada yang mengatakan lebih rela dijangkiti daripada disuntik.

Antara alasan yang diberikan mereka ialah tidak percaya terhadap kerajaan dan sains, kepercayaan agama serta kurang yakin terhadap proses pembangunan vaksin kerana merasakan vaksin Covid-19 diberikan terlalu tergesa-gesa.

Seorang ahli perniagaan berusia 58 tahun dari Kuala Lumpur berkata beliau tidak menentang vaksin Covid-19 tetapi mendakwa kerajaan tidak cukup telus.

Beliau yang tidak mahu namanya disiarkan berkata kerajaan tidak memberikan gambaran penuh berkenaan individu yang berdepan kesan sampingan teruk selain kes kematian selepas vaksinasi.

“Apa yang kita tidak tahu daripada vaksinasi ialah risiko teruk yang mungkin dihadapi oleh seseorang selepas vaksinasi. Kerajaan hanya memberikan maklumat asas yang tidak lengkap,” katanya.

Ini walaupun Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesan sampingan yang teruk selepas vaksinasi adalah sangat tidak mungkin, berdasarkan kajian. Beliau juga berkata kesan sampingan yang teruk dilaporkan pada 0.05 untuk setiap 1,000 dos yang diberikan.

Ahli perniagaan itu juga merasakan kerajaan tidak bersikap jujur terhadap mereka yang meninggal dunia selepas vaksinasi. Beliau meragui penjelasan bahawa kes ini juga mempunyai komorbiditi dan dengan masalah kesihatan tertentu yang memburukkan tindak balas mereka terhadap vaksin.

“Kerajaan selalu berkata ia adalah kerana masalah kesihatan mereka. Tetapi apa yang mencetuskannya? Mereka sudah hidup dengan masalah kesihatan mereka selama bertahun-tahun sebelum vaksinasi covid-19 tetapi selepas vaksinasi, ada yang mempunyai kesan sampingan teruk manakala ada yang meninggal dunia. Apakah puncanya? Adakah kerajaan akan telus? Sudah tentu tidak,” katanya.

Individu itu berkata beliau bukan antivaksin tetapi ragu-ragu terhadap vaksin Covid-19 kerana ia dibangunkan dalam masa singkat.

Sejak program vaksinasi Covid-19 di Malaysia yang dimulakan pada akhir Februari tahun lalu hampir 98% daripada populasi dewasa negara sudah divaksin dengan dua dos atau satu dos.

Suntikan dos penggalak sedang dijalankan dengan sekurang-kurangnya 49% daripada populasi dewasa dilindungi.

Putrajaya mewajibkan vaksinasi dengan memberikan keistimewaan bagi mereka yang sudah diberi vaksin sepenuhnya seperti makan di restoran dan memasuki hotel serta kemudahan lain. Dalam perkhidmatan awam ia diwajibkan kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Ahli perniagaan itu berkata jika ini berlaku maka adalah salah untuk menyalahkan mereka yang tidak divaksinas sebagai punca peningkatan kes Covid-19.

“Mereka membatalkan keistimewaan kami. Kami tidak makan di luar, tidak pergi membeli-belah, berkelah atau apa sahaja. Jadi siapa sekarang yang menyebarkan virus? Yang divaksin atau yang tidak divaksinasi?,” soalnya.

Bagaimanapun pihak berkuasa kesihatan termasuk WHO tidak pernah menyatakan vaksinasi bertujuan 100% berkesan dalam mencegah jangkitan Covid-19. Dan dengan lebih ramai penduduk mendapat suntikan vaksin, adalah logik bilangan jangkitan dalam kalangan mereka yang sudah divaksin akan lebih tinggi daripada jangkitan yang disebarkan oleh mereka yang tidak divaksin.

Apa yang dilakukan oleh vaksin adalah mengurangkan risiko jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian, kata WHO.

Ditanya sama ada beliau akan mendapatkan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat ahli perniagaan itu berkata beliau tidak akan melakukannya dan menambah beliau mempunyai lebih banyak peluang untuk hidup serta pulih jika dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun jumlah kematian Covid-19 bagi setiap 100,000 kes ketika ini dengan lebih 90% daripada populasi sudah diberi vaksin sepenuhnya adalah 9.7 dalam kalangan yang tidak divaksin berbanding hanya 0.6 dalam kalangan mereka yang mempunyai dua dos vaksin.

Dan peluang untuk hidup bagi mereka yang tidak divaksin adalah lebih tipis berbanding dengan mereka yang diberi vaksin. Satu daripada kajian terbesar yang meliputi 22 juta orang berusia lebih 50 tahun mengenai pencegahan Covid-19 yang teruk dan kematian menunjukkan mereka yang divaksin adalah 90% kurang berkemungkinan dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga berkata kematian dalam kalangan mereka yang dijangkiti Covid-19 selepas diberi vaksin sepenuhnya adalah kurang daripada 0.01% daripada 14 juta individu.

Sehingga 27 Januari lalu Malaysia yang mencatatkan 2,850,408 jangkitan sejak wabak bermula kini merekodkan 31,930 kematian. Jumlah kematian harian mula menurun selepas Ogos tahun lalu kira-kira enam bulan dari permulaan kempen imunisasi kebangsaan.

Hak dan kepercayaan agama

Seorang lagi individu yang mahu dikenali sebagai Mustafa memberikan agama sebagai alasannya tidak mendapatkan vaksin berkenaan dan juga kerana tidak mempercayai perkembangan vaksin.

“Kami tidak pasti bahan yang digunakan untuk membuat vaksin sama ada ia halal atau 100% selamat kerana masih dalam ujian klinikal.

“Mengapa kita mesti mengambil sesuatu yang masih dalam ujian klinikal dan lebih teruk lagi apabila kita perlu menandatangani borang kebenaran dengan menyatakan kita bertanggungjawab sepenuhnya selepas divaksin.

“Mengapa kerajaan tidak bertanggungjawab memandangkan mereka yang terdesak mahu menyuntik kita,” soalnya.

Mustafa berkata isu vaksinasi adalah persoalan “hak” kepadanya dan orang lain yang menolak vaksinasi.

“Tiada siapa yang mempersoalkan hak seseorang untuk mendapatkan vaksin tetapi mengapa ia menjadi isu apabila seseorang memutuskan untuk tidak mendapatkan vaksin atas sebab mereka sendiri,” soalnya.

Kementerian Kesihatan di negara ini dan di tempat lain bagaimanapun sudah mengatakan kepentingan vaksinasi adalah untuk melindungi orang lain - keluarga individu dan komuniti. – 29 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen