Gerakan jadikan Perikatan majmuk, kata Lau


Khoo Gek San

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata setiap parti dalam Perikatan Nasional tidak dihalang memperjuangkan agama dan kaum masing-masing tetapi dengan syarat tidak menyinggung sekutu lain.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Januari, 2022.

TANPA Gerakan, Perikatan Nasional (PN) adalah gabungan yang terdiri daripada hanya parti Melayu, kata presidennya Dominic Lau.

“PN jika cuma ada Bersatu dan PAS, menjadikannya satu gabungan Melayu. Tetapi dengan penyertaan Gerakan, PN jadi gabungan yang berbilang kaum, majmuk,” katanya dalam temu bual bersama The Malaysian Insight.

Menurut Lau, walaupun setiap parti komponen PN mempunyai ideologi tersendiri namun tiada halangan untuk mereka memperjuangkan hak masing-masing.

“Setiap parti dalam Perikatan tidak dihalang untuk mempertahan agama dan kaum masing-masing tetapi dengan syarat tidak menyinggung parti lain.

“Oleh itu, Gerakan jadi perantara dalam setiap mesyuarat Perikatan,” jelasnya.

Menyentuh sumbangan dalam gabungan itu, Lau berkata Gerakan lebih menumpu kepada isu melibatkan berbilang kaum, manakala PAS kepada hal-hal membabitkan agama Islam.

Selain PAS, Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin merupakan sebuah lagi parti Melayu dalam PN yang juga dipengerusikan bekas perdana menteri itu.

Lau seterusnya berkata tiada masalah untuk Gerakan bersekutu dengan PAS, walaupun parti Islam itu pernah menjadi seteru Barisan Nasional (BN), gabungan yang pernah disertainya sebelum ini.

Katanya, pemimpin semua parti dalam PN tiada masalah bekerjasama antara satu sama lain. Cuma katanya, PN perlu meningkatkan kerjasama di peringkat akar umbi.

Gerakan juga tiada masalah dengan keputusan kerajaan Kedah yang ditadbir PAS mengharamkan kedai judi di negeri itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada November lalu berkata semua kedai nombor ekor tidak akan dibenarkan beroperasi di Kedah mulai tahun, sebagai usaha membendung aktiviti perjudian di negeri itu.

Sanusi dipetik media berkata susulan itu pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan bagi premis berkenaan.

Kerajaan negeri juga katanya memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua daerah, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.  – 29 Januari, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen