Adakah Malaysia alami krisis baharu Covid-19, tanya Kit Siang


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan adakah Malaysia Malaysia sudah hilang kawalan terhadap pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2022.

PENINGKATAN jumlah kes harian sejak dua hari lalu mencetus persoalan adakah Malaysia sudah hilang kawalan terhadap pandemik Covid-19, soal Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga bertanya apakah negara sedang menghadapi krisis baharu Covid-19 berdasarkan lebih 5,000 kes dilaporkan selama dua hari berturut-turut.

“Adakah Malaysia sedang mengalami krisis baharu Covid-19, hilang kawalan dengan lebih 5,000 kes baharu sejak dua hari lalu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan 5,439 kes baharu semalam, manakala 5,522 kes hari ini.

Kali terakhir angka harian lebih 5,000 direkodkan pada 10 Disember tahun lalu, ketika itu 5,508 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter hari ini berkata jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di Malaysia kini mencecah 2.85 juta kes.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim berkata memorandum persefahaman (MoU) antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH) telah membantu usaha mengawal penularan Covid-19.

“Jika bukan kerana MoU, kita mungkin telah menamatkan tahun 2021 dengan lima hingga 10 juta kes Covid-19 dan 100,000 hingga 200,000 kematian Covid-19 berbanding 2.75 juta kes Covid-19 dan 31,500 kematian Covid-19 pada 31 Disember 2021,” katanya.

Tambahnya, peningkatan kes baharu sejak dua hari lalu tidak boleh dipandang ringan bagi memastikan negara tidak berdepan krisis baharu pandemik Covid-19. – 28 Januari, 2022. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen