Finland mula longgar sekatan Covid lebih awal


Mulai 1 Februari, sekatan ke atas acara dan perniagaan berisiko rendah di Finland akan dilonggarkan. – Gambar EPA, 28 Januari, 2022.

KERAJAAN Finland akan mengurangkan beberapa sekatan koronavirus lebih awal apabila tekanan pada sistem penjagaan kesihatan berkurangan walaupun berhadapan gelombang Omicron.

Mulai 1 Februari, sekatan ke atas acara dan perniagaan berisiko rendah akan dilonggarkan.

“Beban hospital masih tinggi, tetapi kes paling serius semakin berkurangan dan ada perubahan yang lebih baik dalam rawatan rapi,” tulis Menteri Kesihatan Hanna Sarkkinen dalam satu kenyataan di Twitter.

Negara Nordik dengan 5.5 juta orang itu telah mengekalkan beberapa kadar insiden terendah Kesatuan Eropah (EU) sepanjang pandemik, namun jangkitan meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan varian Omicron.

Pada 18 Januari, kerajaan Finland melanjutkan beberapa sekatan virus yang diperkenalkan pada Disember, termasuk mengurangkan waktu buka untuk restoran dan bar serta mengehadkan perhimpunan awam.

Pada masa itu, Perdana Menteri Sanna Marin menjangkakan kebanyakan sekatan perlu kekal sehingga pertengahan Februari.

Namun bermula awal bulan depan, restoran akan dibenarkan buka sehingga 9 malam, tiga jam lebih lama berbanding sekarang, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Bar masih perlu ditutup pada pukul 6 petang dan berhenti menghidangkan alkohol pada pukul 5 petang.

Kerajaan juga berkata sekatan di sekitar acara kebudayaan dan sukan berisiko rendah boleh mula dilonggarkan.

Terdahulu pada Khamis, Institut Kesihatan dan Kebajikan Finland melaporkan sekitar 52,000 kes baharu Covid-19 minggu lalu, berbanding 57,000 minggu sebelumnya, manakala bilangan pesakit virus dalam rawatan rapi telah menurun di seluruh negara.

Sejak pandemik melanda, Finland merekodkan 470,665 kes dengan 1,973 kematian.

Pengumuman Finland dibuat selepas negara jiran Nordic Denmark berkata ia akan membatalkan hampir semua sekatan Covid-19 pada 1 Februari, menetapkannya untuk menjadi negara EU pertama yang menarik balik sekatan domestik. – AFP, 28 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen