Kemasukan hospital kes Covid turun bawah 1,000 semalam, lapor KKM


Ravin Palanisamy

KEMASUKAN harian ke hospital akibat Covid-19 menurun kepada 964 semalam walaupun Malaysia mencatatkan peningkatan kes sebanyak 5,439 yang tertinggi sejak awal tahun ini, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Kemasukan ke hospital semalam lebih rendah berbanding 1,075 yang dilaporkan pada hari sebelumnya, yang memecahkan rentetan 21 hari kes kurang 1,000.

Malaysia juga mencatatkan 10 kematian baharu akibat koronavirus, menjadikan jumlah kematian sebanyak 31,940.

Penggunaan keseluruhan hospital menurun kepada 66.0 peratus semalam daripada 66.6 peratus sehari sebelumnya, manakala kes Covid meningkat kepada 29.3 peratus daripada 29.1 peratus.

Penggunaan ventilator pada kadar 34.3 peratus manakala kadar guna unit rawatan rapi (ICU) kekal pada 54.4 peratus, di mana 14.4 peratus daripadanya melibatkan pesakit Covid.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk jumlah katil yang dihuni serta bilangan pesakit di ICU dan ventilator.

Johor mencatatkan jumlah kemasukan paling ramai iaitu 230, diikuti Selangor dengan 216 manakala Sabah dengan 118 kemasukan ke hospital.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Negeri Sembilan (68), Kuala Lumpur (67), Sarawak (64), Kelantan (54), Kedah (34), Pahang (34), Perak (27), Melaka (18), Pulau Pinang (16), Putrajaya (8), Terengganu (7) dan Perlis (3).

Labuan bagaimanapun tidak merekodkan sebarang kemasukan semalam.

Penggunaan katil hospital di Kedah, termasuk kes bukan Covid adalah yang tertinggi iaitu 80.9 peratus.

Sementara itu, daripada 5,439 kes baharu, Lembah Klang yang meliputi Selangor (1,355), Kuala Lumpur (420) dan Putrajaya (43) menyumbang 1,818 atau 33.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes semalam.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (805), Kedah (428), Pulau Pinang (396), Kelantan (395), Negeri Sembilan (393), Sabah (342), Pahang (300), Melaka (299), Perak (142), Terengganu (68), Sarawak (19), Labuan (18) dan Perlis (16).

Kes aktif meningkat sehingga 47,805 selepas kes baharu mengatasi jumlah kes pulih.

Daripada 10 kematian baharu yang dilaporkan, tiga maut sebelum tiba di hospital (DOA). Semua kematian yang dilaporkan adalah kes tertunggak.

Selangor melaporkan tiga kematian, Kuala Lumpur dan Kelantan masing-masing dua, manakala Johor, Perak dan Sarawak masing-masing melaporkan satu.

Tiga kes DOA dilaporkan di Kelantan, Perak dan Sarawak.

Kadar kematian Covid tempatan berada pada kadar 0.4 peratus manakala purata negara bagi kematian akibat jangkitan adalah 42 bagi setiap 10 juta orang dalam tempoh dua minggu lalu. – 28 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen