PERDANA Menteri Najib Razak mengumumkan akan mengecualikan duti setem ke atas saham syarikat permodalan kecil dan sederhana yang diniagakan di Bursa Malaysia untuk tempoh tiga tahun, berkuatkuasa Mac 2018.
Najib turut mengumumkan satu hubungan dagangan antara bursa Singapura dan Malaysia bagi “memperluaskan pilihan pelabur” di kedua-dua negara.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengiktirafan nilai dan daya saing dalam segmen pasaran saham, juga menggalakkan penyertaan lebih besar pelabur,” kata Najib di hadapan para pelabur di World Capital Markets Symposium (Simposium Pasaran Modal Sedunia) anjuran Suruhanjaya Sekuriti di Kuala Lumpur.
“‘Hubungan Malaysia-Singapura’ ini akan menyediakan akses yang mudah dan lancar kepada kedua-dua pelabur dari kedua-dua negara ke pasaran antara satu sama lain dengan gabungan permodalan lebih daripada AS$1.2 trilion dan 1,600 syarikat senaraian awam,” Najib memberitahu pelabur dalam ucaptamanya.
Terdapat 350 syarikat sederhana dan kecil tersenarai dengan jumlah modal pasaran RM217 bilion, iaitu lebih dari satu pertiga syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Antara inisiatif lain yang diumumkan Najib ialah:
- Peraturan pembiayaan margin akan diliberalisasikan;
- Jualan singkat harian dibenarkan kepada semua pelabur;
- Kategori baharu peniaga yang berniaga dengan akaun mereka sendiri, iaitu “Pakar Dagangan” akan diperkenalkan;
- Insentif program berdasarkan jumlah dagangan oleh bursa akan diperkenalkan bagu memangkin aktiviti perdagangan yang lebih besar;
- Semua pelabur baharu akan diberikan pengecualian yuran bagi dagangan dan penjelasan bagi tempoh enam bulan untuk menggalakkan lebih ramai peserta berdagang dalam pasaran Malaysia.
“Ini merupakan beberapa langkah yang kita ambil untuk memastikan kita mengambil bahagian dalam kebangkitan kapitalisme, dan pertumbuhan ini dirasai oleh semua,” kata Najib.
Turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Ranjit Ajit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Tajuddin Atan.
Tidak pasti sama ada “Pakar Dagangan” merujuk kepada peniaga runcit atau satu kategori baharu bagi broker berlesen.
Najib tidak bercakap kepada media selepas menyampaikan ucaptamanya. – 6 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan