KHAIRUSSALEH Ramli dilantik sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan baharu Malayan Banking Bhd (Maybank) berkuat kuasa 1 Mei, 2022.
Maybank dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan Khairussaleh telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia.
Khairussaleh, 54, akan menggantikan Abdul Farid Alias yang berundur pada 30 April selepas tidak memperbaharui kontraknya yang dijadualkan berakhir pada 1 Ogos, 2022.
“Khairussaleh akan menyertai semula keluarga Maybank dan membawa bersama beliau pengetahuan serta pengalaman luas hampir 30 tahun dalam industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal.
“Kami yakin dengan pengalaman luasnya, beliau akan dapat menerajui Maybank dalam fasa pertumbuhan seterusnya, berteraskan bidang fokus M25 seperti pendigitalan, kemampanan dan pemacu nilai baharu,” kata Pengerusi Maybank Zamzamzairani Mohd Isa dalam kenyataan tersebut.
Khairussaleh sebelum ini merupakan pengarah urusan kumpulan RHB Banking Group yang bertanggungjawab merangka hala tuju strategik kumpulan itu dan memimpin organisasi tersebut untuk mencapai matlamat dan objektif penciptaan nilai di bawah strategi lima tahunnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2022.
Sebelum menyertai RHB Banking Group, Khairussaled bersama Maybank antara November 2008 dan September 2013, dan berkhidmat selama tiga tahun sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan sebelum memegang jawatan sebagai presiden direktur dan ketua pegawai eksekutif Maybank di Indonesia. – Bernama, 27 Januari, 2022.
Komen