KOS logistik yang sangat besar disebabkan kebanyakan kedai terletak di kawasan luar bandar menjadi punca penutupan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Ameer Ali Mydin.
Ameer berkata masalah logistik ini tidak akan berlaku kepada KR1M 2.0 yang akan menggantikan KR1M kerana ia berdasarkan kepada model perniagaan yang berbeza.
Melalui model baharu ini, kerajaan akan bergantung kepada rakan kongsi yang merupakan peruncit yang sudahpun memiliki jaringan dan rangkaian logistik, yang mana akan mengurangkan kos.
“KR1M 2.0 ‘dari segi prinsipnya lebih baik’ dari versi pertama yang kini dikenali sebagai KR1M 1.0, yang rugi lebih dari RM100 juta,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Ameer mengendali dan membekalkan produk kepada semua 185 cawangan KR1M dari rangkaian pasar raya popular, Mydin. Ini termasuk sehingga ke Kapit dan Belaga di Sarawak. Semua produk yang dibekalkan adalah dari gudang Mydin sendiri, yang dibungkus dan dijual di bawah jenama 1Malaysia.
Beliau berkata Mydin setuju menjalankan operasi runcit KR1M itu “demi rakyat” dan atas “tanggungjawab sosial korporat (CSR)” dan tidak menyangka akan berakhir dengan kerugian sebesar ini.
KR1M dimulakan pada 2011 sebagai sebahagian daripada strategi Perdana Menteri Najib Razak untuk membantu rakyat Malaysia berpendapatan rendah menghadapi kenaikan harga barangan.
“Matlamat kami ialah membuka pasar raya di seluruh negara.”

Berbanding pasar raya lain yang mempunyai rangkaian bekalan yang lebih efisien, kebanyakan kedai KR1M terletak jauh dari gudang.
“Contohnya, kami ada sebuah pasar mini di kawasan terpencil yang hanya mebuat RM3,000 jualan. Tetapi, kos untuk mengangkut bekalan ke pasar raya dari gudang setiap hari ialah RM1,000,” kata Ameer.
“Kos logistik ialah sebanyak 20%. Jadi, susah untuk menampung kos itu kerana kami juga perlu menjual produk kami di bawah harga pasaran.”
Sebaliknya, projek KR1M 2.0 tidak melibatkan pembukaan dan pengendalian pasar raya baharu. Peruncit sedia ada dan pasar raya mereka akan membekal produk pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran.
Ketika melancarkan KR1M 2.0 pada hujung minggu lalu, Najib berkata sebagai permulaan pasar raya yang terlibat dalam program itu akan menjual empat barangan keperluan asas iaitu beras, gula, tepung dan minyak masak.
Barangan itu adalah gula yang djual pada harga RM2.85 sekilogram (kg) berbanding RM2.95 di kedai biasa, tepung pada harga RM1.30 berbanding RM1.35, beras cap Bunga Raya seberat 10kg pada RM24.90 berbanding RM26, manakala minyak untuk sekilogram masih dijual dengan RM2.50 kerana telah diberikan subsidi oleh kerajaan.
Kira-kira 50 peruncit akan mengambil bahagian dalam KR1M 2.0 dan kerajaan mensasarkan untuk menambah kepada 3,000 peruncit di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun.
Ameer juga menafikan kepercayaan orang ramai bahawa KR1M mendapat subsidi kerajaan dan rugi dalam tempoh lima tahun operasinya.
“Kerajaan hanya membayar aset, iaitu kedai dan kos pengubahsuaian. Selainnya, dari kakitangan hinggalah utiliti dan produk, semuanya disediakan Mydin.”
Kesemua kedai telah dikembalikan kepada kerajaan apabila Mydin memutuskan untuk menutup kesemua pasar raya KR1M bermula September lalu, kata Ameer.
Sebahagian daripadanya akan diambil oleh peruncit lain. – 6 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan