Lebih 1,000 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital, lapor KKM


Ravin Palanisamy

KEMASUKAN ke hospital akibat Covid-19 meningkat semalam kepada 1,075 selepas merekodkan tiga digit untuk 21 hari terakhir.

Koronavirus juga meragut 12 lagi nyawa semalam menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini seramai 31,930 orang, menurut laman web CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Negara itu melaporkan 4,744 jangkitan baharu semalam, jumlah harian tertinggi sejak awal tahun ini.

Laman web CovidNow menunjukkan penggunaan hospital adalah pada 66.6% semalam dengan 29.1% melibatkan kes koronavirus.

Penggunaan ventilator keseluruhan adalah pada 36.6% manakala penghunian unit rawatan rapi (ICU) berada pada 54.4% di mana 14.9% adalah disebabkan oleh koronavirus.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk penghunian katil serta bilangan pesakit di ICU dan penggunaan alat ventilator.

Daripada jumlah kemasukan ke hospital baharu, Selangor mencatatkan paling ramai pesakit iaitu 281 diikuti oleh Kuala Lumpur (196) dan Putrajaya (2).

Penggunaan katil hospital di Lembah Klang termasuk untuk kes bukan Covid-19 adalah pada 60.6%.

Negeri lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Johor (229), Sabah (93), Negeri Sembilan (60), Sarawak (49), Kelantan (45), Kedah (32), Pahang (22), Perak (22), Melaka (20), Pulau Pinang (11), Terengganu (9) dan Perlis (4). 

Hanya Labuan tidak melaporkan sebarang kemasukan baharu.

Sementara itu daripada 4,744 kes baharu semalam, 1,746 atau 37% daripada kes adalah dari Lembah Klang.

Daripada jumlah keseluruhan kes di Lembah Klang, Selangor menyumbang 1,318 kes, Kuala Lumpur (390) dan Putrajaya (38).

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (700), Kedah (455), Kelantan (357), Sabah (335), Negeri Sembilan (311), Pahang (256), Pulau Pinang (183), Melaka (153), Perak (148), Terengganu (69), Perlis (17), Sarawak (13) dan Labuan (1).

Kes baharu itu menjadikan jangkitan aktif pada 46,785 dengan majoriti mereka yang dijangkiti menjalani kuarantin di rumah.

Bagi 12 kematian yang dilaporkan semalam, dua diklasifikasikan sebagai meninggal dunia di luar hospital dan semua kematian adalah kes tertunggak.

Daripada jumlah kematian baharu yang dilaporkan Selangor dan Sabah masing-masing mencatatkan tiga kematian diikuti oleh Johor dengan dua kematian.

Melaka, Pahang, Perak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan satu kematian manakala tiada kematian dicatatkan di negeri lain.

Kes kematian di luar hospital dilaporkan di Sabah dan Johor.

Jumlah kematian keseluruhan di Malaysia kini seramai 31,930.

Kadar kematian Covid-19 tempatan adalah pada 0.5% manakala purata kematian akibat jangkitan adalah lima bagi setiap sejuta penduduk. – 27 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen