KEGAGALAN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 adalah punca utama 107 kluster pendidikan yang menyumbang kepada 4,633 kes jangkitan sejak awal tahun, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes-kes ini dilaporkan dalam tempoh 1 hingga 25 Januari, dengan sebahagian besar kluster dan jangkitan muncul selepas sekolah bermula pada 9 dan 10 Januari.
“Kes dan kluster yang dilaporkan ini berpunca daripada ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama,: kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Sebab lain lonjakan kes dalam kalangan pelajar adalah individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas dan murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin.
Hasil siasatan Kementerian Kesihatan terhadap penularan di sekolah juga mendapati ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama.
Majoriti atau 88.3% daripada 4,633 jangkitan dalam kluster pendidikan telah divaksin dan turut mengalami gejala Covid-19 ringan dalam kategori 1 dan 2.
Malaysia hari ini melaporkan 4,744 jangkitan baharu, yang tertinggi sejak awal tahun ini. – 26 Januari, 2022.
Komen