PKR akan menggunakan lambang partinya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.
Amanah dan DAP sebaliknya akan memakai lambang PH, katanya.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, petang ini.
“Keputusan mengenai logo ini dicapai secara konsensus. PKR akan guna logo PKR sementara yang lain pakai logo Pakatan Harapan,” kata Anwar.
Ini adalah kali kedua PKR menggunakan lambangnya sendiri dalam pilihan raya selepas Pilihan Raya Umum ke-14. PH ketika itu menggunakan lambang PKR kerana pendaftarannya sebagai parti politik belum diluluskan.
PKR menggunakan logonya sendiri pada PRN Sarawak bulan lepas. Ia kalah semua 28 kerusi yang ditandingi.
PKR juga kalah semua 11 kerusi yang ditandingi pada PRN Melaka November tahun lalu, ketika itu menggunakan lambang PH.
Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan Sabtu lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat 9 Februari untuk menentukan proses pilihan raya.
Sementara itu, Anwar berkata PH belum memutuskan pengagihan kerusi dengan parti lain, termasuk Muda.
“Mesyuarat ini hanya bincang pengagihan kerusi Pakatan,” katanya.
“Kita tidak bincang Muda hari ini,” tambahnya.
PH juga belum memutuskan calon menteri besar, kata Anwar.
Dalam kenyataan media selepas mesyuarat, Majlis Presiden PH juga merakamkan penghargaan kepada pasukan rundingan agihan kerusi yang diwakili empat pemimpin masing-masing dari PKR, Amanah, dan DAP.
PKR diwakili Syed Ibrahim Syed Noh, Jimmy Puah Wee Tse, Naim Jusri dan Akmal Nasir.
DAP diwakili Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Andrew Chen Kah Eng sementara wakil Amanah ialah Aminolhuda Hassam, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan Abdul Hamid Jamah.
Aminolhuda yang juga pengerusi PH Johor sebelum ini berkata agihan kerusi menggunakan formula kerusi yang dimenangi pada PRU14, sementara kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh Bersatu akan diagihkan semula.
Pada PRU14, PKR bertanding 12 kerusi, DAP 14 dan Amanah 12. Bersatu bertanding paling banyak iaitu 18 kerusi.
Majlis Presiden PH juga dalam mesyuarat hari ini mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuk Muda, untuk mengukuhkan saingan pembangkang. – 26 Januari, 2022.
Komen