ANAK kapal tentera Australia yang berlabuh di Tonga bagi menyampaikan bantuan kepada negara yang dilanda bencana gunung berapi dan tsunami itu dijangkiti Covid-19.
Ia sekaligus memaksa misi bantuan berkenaan dijalankan dibawah protokol “tiada kontak” yang ketat.
Menteri Kesihatan Tonga Saia Piukala berkata kru HMAS Adelaide akan mengikuti protokol kesihatan drastik bagi memastikan kerajaan Pasifik yang terpencil kekal sebagai salah satu daripada beberapa tempat di dunia yang masih bebas daripada Covid-19.
“Kapal itu akan berlabuh dan tiada hubungan akan dibuat. Warga Australia dari kapal itu akan memunggah kargo mereka dan belayar dari pelabuhan,” katanya kepada pemberita.
Kapal Adelaide digunakan sebagai sebahagian daripada usaha bantuan antarabangsa selepas letusan 15 Januari yang menjana gelombang tsunami besar dan menyelubungi negara pulau itu dengan abu toksik.
Kapal perang itu membawa kira-kira 80 tan bekalan bantuan, termasuk air, kit perubatan dan peralatan kejuruteraan.
Walaupun semua anak kapal diuji negatif sebelum berlepas dari Brisbane, para pegawai di Canberra pada hari Selasa berkata 23 kes koronavirus telah dikesan pada kapal itu.
Piukala berkata jumlah itu telah meningkat kepada 29 pada hari Rabu.
Lebih 600 kru kapal itu telah diberi vaksin sepenuhnya, dan Angkatan Pertahanan Australia pada Selasa berkata 23 pesakit awal adalah tanpa gejala atau hanya bergejala ringan.
Menurutnya kapal itu mempunyai hospital 40 katil, termasuk dewan bedah dan wad penjagaan kritikal. – AFP, 26 Januari, 2022.
Komen