17 premis di Seri Kembangan diarah henti operasi susulan tanah mendap


Alfian Z.M. Tahir

Mendapan tanah di Jalan LP 1A/2, Lestari Perdana, Seri Kembangan petang semalam. – Gambar Facebook, 26 Januari, 2022.

LEBIH 17 premis perniagaan di Lestari Perdana, Seri Kembangan diarah tutup sementara susulan kejadian tanah mendap petang semalam, menurut Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

MBSJ dalam kenyataan berkata notis henti operasi dikeluarkan Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan atas nasihat Jabatan Kejuruteraan majlis itu serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ Azfarizal Abdul Rashid berkata pemilik kenderaan di kawasan terbabit juga diarah supaya mengalihkan kenderaan masing-masing serta-merta.

Semalam, lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana rosak selepas berlaku mendapan tanah di kawasan itu.

Penolong Penguasa II Balai Bomba dan Penyelamat Serdang Saharudin Abdul Razak dipetik Bernama berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 6.38 petang.

“Keadaan hujan ketika kejadian itu menyebabkan longkang pecah sehingga berlakunya mendapan tanah dan lima kereta tersebut jatuh sedalam lima hingga enam meter,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang mangsa, tambahnya.

Saharudin juga berkata mendapan tanah pernah berlaku di kawasan tersebut pada 2017 iaitu kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. – 26 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen