KKM lapor 4,066 jangkitan baharu Covid-19 semalam


Chan Kok Leong

Sebanyak 15 sekolah di Kedah diarah tutup sementara semalam susulan peningkatan kadar jangkitan baharu kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022.

JANGKITAN Covid-19 di sekolah mula mengatasi sumber jangkitan lain apabila sembilan daripada 13 kluster baharu diperoleh daripada sektor pendidikan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Empat selebihnya datang dari tempat kerja (3) dan komuniti (1), menurut data diperoleh daripada laman web CovidNow.

Sekolah dibuka semula pada 10 Januari.

Daripada 4,066 kes baharu yang dilaporkan semalam, 138 melibatkan sektor pendidikan.

Ini selaras dengan pengumuman semalam bahawa 15 sekolah di Kedah diarah tutup sementara susulan peningkatan kadar jangkitan baharu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Sumber Manusia negeri Kedah, Najmi Ahmad, sebanyak 13 sekolah itu adalah kategori berasrama penuh manakala dua lagi sekolah harian, dengan lapan daripadanya diisytiharkan sebagai kluster Covid-19.

Sementara itu, jumlah jangkitan baharu meningkat sedikit kepada 4,066 kerana kadar positif juga meningkat sehingga 3.1% daripada 96,406 ujian semalam.

Ia menjadikan jumlah kes aktif kini sebanyak 45,699 dengan 84.3% menjalani kuarantin di rumah manakala 9.2% lagi berada di pusat kuarantin.

Kemasukan hospital kini berjumlah 2,835 (6.2%) dengan 66 di ICU (0.1%) dan 65 di bawah bantuan mesin pernafasan.

Sementara itu, terdapat 16 kematian baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 31,918 dengan tiga dikategorikan sebagai kematian di luar hospital.

Mengenai vaksinasi, bilangan suntikan penggalak yang diberikan terus bertambah dengan 208,377 suntikan diberikan semalam.

Ini menjadikan jumlah dos penggalak kepada 11.1 juta dengan bertambah 34% daripada jumlah populasi. 

Bilangan mereka yang sudah mendapatkan vaksin lengkap kekal 25.7 juta atau 78.7% daripada jumlah penduduk (12 tahun ke atas). – 26 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen