Terlalu awal ramal masa depan Warisan, PBM, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata jika PH tidak dapat menyelesaikan masalahnya sendiri, pertembungan terbuka misalnya, orang bukan Melayu mungkin mengundi Warisan atau PBM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022.

MASIH terlalu awal untuk meramalkan keupayaan Parti Warisan Sabah atau Parti Bangsa Malaysia (PBM) menarik sokongan pengundi bukan Melayu daripada Pakatan Harapan (PH) kerana kedua-dua parti masih belum diuji, kata pemerhati politik.

Mereka bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight sekiranya PH tidak dapat menyelesaikan pertikaian dalamannya seperti menggunakan satu logo saja, tidak mustahil pengundi bukan Melayu memilih dua parti baharu itu pada pilihan raya akan datang.

Pemerhati politik berkata kini terpulang kepada DAP dan PKR kerana kedua-dua parti itu akan mengalami kekalahan besar jika mereka membenarkan pengundi membelakangkan mereka.

Pada Disember tahun lepas, Warisan melancarkan bahagian semenanjungnya dan presiden parti Mohd Shafie Apdal berkata parti itu sedang berusaha untuk membina sebuah negara dan bukan sesuatu kaum atau agama.

Shafie yang juga bekas naib presiden Umno, menubuhkan Warisan pada Oktober 2016, beberapa bulan selepas beliau meletak jawatan daripada parti Melayu terbesar negara berikutan pertikaian mengenai kepimpinan presiden ketika itu Najib Razak.

Walaupun agak baru dalam kancah politik, Warisan mempunyai lapan ahli Parlimen dan 19 Adun di kubu kuatnya di Sabah.

PBM pula, yang ditubuhkan secara rasmi pada awal Januari, telah memilih bekas ahli Parlimen PKR Larry Sng sebagai presiden pertamanya.

Parti itu dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk menjadikannya sebuah parti bertaraf nasional.

PBM ialah parti berbilang kaum yang menyokong perdana menteri dan kerajaan Keluarga Malaysia, serta kerajaan Sarawak.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar memberitahu The Malaysian Insight bahawa PH tidak lagi boleh kekal yakin bahawa mereka boleh mendapatkan undi bukan Melayu seperti yang dilakukan pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau mengambil contoh kekalahan PH dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak.

“Warisan dan PBM belum diuji, jadi kita tidak boleh katakan mereka akan atau tidak akan mendapat sokongan daripada bukan Melayu.”

“Namun, itu tidak mustahil. Jika PH tidak dapat menyelesaikan masalahnya sendiri, pertembungan terbuka misalnya, orang bukan Melayu mungkin mengundi Warisan atau PBM.

“Pilihan raya Melaka dan Sarawak membuktikan segala-galanya. Terdapat perubahan undi daripada bukan Melayu yang dahulunya mengundi PH kini menentang mereka,” kata Hisomuddin.

PH kalah teruk dalam pilihan raya negeri Melaka dan Sarawak.

Pada pilihan raya Melaka 20 November lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi negeri dan 38% undi popular.

PH hanya memenangi lima kerusi, dengan PKR kalah kesemua 11 kerusi yang ditandinginya manakala DAP memenangi empat dan Amanah satu.

Semasa PRN Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya negeri, memenangi 75 daripada 82 kerusi DUN. – 26 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen