MUHYIDDIN Yassin tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana mahu memberi perhatian kepada parti, lapor Berita Harian.
Presiden Bersatu berkata keputusan itu akan membolehkan partinya menampilkan lebih ramai calon muka baharu.
“Saya mungkin tidak akan bertanding. Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon). Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.
“Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” katanya seperti dipetik portal berita itu di Shah Alam, awal malam ini.
Muhyiddin ditemui sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, kata laporan itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhyiddin menang kerusi negeri Gambir mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) M Asojan dan calon PAS Dr Mahfodz Mohamed, dengan kelebihan 3,088 undi.
Beliau juga mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh, yang disandangnya sejak 1978.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadualkan bermesyuarat 9 Februari untuk menentukan tarikh dan proses PRN Johor.
Sabtu lalu, Sultan Johor berkenan membubarkan DUN Johor atas nasihat Hasni, membuka jalan untuk pilihan raya negeri diadakan dalam masa 60 hari.
Menurut Hasni, pilihan raya itu perlu diadakan untuk mendapatkan mandat baharu rakyat kerana pentadbirannya “tidak boleh bergantung atas ihsan pembangkang.”
Sebelum bubar, kerajaan campuran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mempunyai kelebihan hanya satu kerusi selepas Adun Kempas Osman Sapian dari Bersatu, yang juga bekas menteri besar, meninggal dunia sebulan yang lalu. – 25 Januari, 2022.
Komen