Perak perlukan dasar tangani isu tokong gua, kata Adun PKR


Angie Tan

Tokong Nam Thean Tong berusia 155 tahun merupakan tarikan pelancong yang menarik hampir 600,000 pelancong sebelum pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afid Abd Halim, 26 Januari, 2022.

KERAJAAN Perak perlu mengambil peluang menangani pertikaian berkenaan isu pengusiran tokong gua di negeri itu bagi merangka dasar yang akan melindungi tempat ini sebagai warisan dan tarikan pelancong untuk masa depan, kata seorang ahli Parlimen negeri.

Tidak pernah ada dasar untuk tokong ini yang sebahagiannya sudah berusia lebih satu abad dan hanya mengarahkan pengusiran mereka akan menyebabkan tokong baharu dibina di kawasan yang lebih terpencil, kata Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing.

Beliau mencadangkan jawatankuasa khas yang dibentuk oleh kerajaan Perak untuk menyelesaikan pertikaian itu menangani dua bidang utama - teknikal perundangan yang melibatkan rumah ibadat ini dalam kontroversi semasa dan dasar pengurusan tokong ini.

Tan berkata jawatankuasa khas itu sepatutnya mempunyai dua pasukan yang bekerja serentak di setiap kawasan ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu masih belum dibentuk walaupun tokong yang menerima notis pengusiran sudah mengemukakan nama wakil mereka.

“Jawatankuasa khas sepatutnya mempunyai dua pasukan, satu untuk melihat isu teknikal yang dihadapi oleh tokong yang akan diusir, dan pasukan kedua untuk merangka dasar pengurusan tokong gua,” kata ahli Parlimen PKR negeri itu kepada The Malaysian Insight.

Pertikaian itu harus ditangani secara sistematik kerana walaupun berbelas tokong menerima notis pengusiran, terdapat lebih banyak tokong daripada itu.

“Mengenai sama ada semua yang lain tidak mempunyai surat hak milik, ini masih memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tokong yang terbabit pengusiran termasuk beberapa yang sudah lama wujud selama lebih daripada satu abad dan merupakan tapak bersejarah, keagamaan dan budaya yang penting kepada penganut Tao dan Buddha.

Salah satunya ialah Tokong Nam Thean Tong berusia 155 tahun. Ia juga merupakan tarikan pelancong yang besar, menarik hampir 600,000 pelancong sebelum pandemik Covid-19.

Kerajaan negeri membiarkan tokong ini membangun tanpa dokumentasi undang-undang dan kawalan perundangan.

Tanpa surat hak milik mereka tidak boleh mendapat manfaat daripada pemberian atau dana kerajaan negeri kepada rumah ibadat berlainan agama.

Tan berkata satu-satunya jalan untuk kawalan perundangan ketika ini ialah Akta Tanah yang merumitkan keadaan jika sesebuah tokong tidak mempunyai surat hak milik.

“Kalau atas tanah kerajaan tak diluluskan. Jika ia dibina terlalu hampir dengan gunung batu kapur, ia juga tidak diluluskan.

“Apa yang kita perlukan ialah perundangan bahawa selagi syarat tertentu dipenuhi, kelulusan boleh diberikan. Kemudian keseluruhan keadaan akan berbeza.

“Selain sebagai pusat keagamaan dan kebudayaan, tokong gua penting sebagai tarikan pelancong dan jika kita ingin meraih potensinya kita perlu membantu mereka menyelesaikan masalah guna tanah terlebih dahulu,” katanya.

Jawatankuasa khas itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak Saarani Mohamad selepas bantahan terhadap notis pengusiran yang diberikan kepada 19 tokong gua di negeri itu oleh Jabatan Tanah dan Galian Perak awal bulan ini.

Menyedari sensitiviti agama dan politik yang terlibat Saarani berkata jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang serta dari tokong yang terjejas. – 26 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen