Pengguna bebas pilih penyedia perkhidmatan digital bayar tol, kata menteri


Elill Easwaran

Pengguna lebuh raya mahu diberi kebebasan sama ada menggunakan RFID, TnG atau SmartTAG bagi membuat pembayaran tol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2022.

ORANG ramai boleh menggunakan semua penyedia pembayaran digital untuk membayar di tol lebuh raya, bukan hanya Touch ‘n Go (TnG), kata Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof.

Fadillah berkata tidak lama lagi terpulang kepada orang ramai sama ada mahu menggunakan e-dompet TnG, kad debit, kad kredit seperti Visa atau Mastercard atau sebarang jenis sistem pembayaran elektronik selagi terdapat pautan di lebuh raya.

“Ini bagaimanapun bergantung kepada penembusan Identifikasi Frekuensi Radio  (RFID) mencapai kadar memuaskan dan kesediaan syarikat konsesi lebuh raya menghubungkan penyedia tambahan bayaran dalam talian,” katanya kepada Free Malaysia Today.

“Kita mendengar permintaan orang ramai untuk membuka lebih banyak (pembayaran dalam talian) dan kita sedar dengan rungutan orang ramai bahawa mereka perlu membayar lebih awal untuk TnG sama ada menggunakan (lebuh raya) atau tidak.

“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berusaha untuk memudahkan orang ramai menerima kaedah pembayaran secara dalam talian,” kata Fadilah seperti dipetik portal itu dalam laporannya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna jalan raya mesti diberi pilihan sama ada menggunakan sistem RFID, TnG, atau SmartTag di tol.

Beliau berkata ini diputuskan oleh Kabinet, pengguna jalan raya mesti diberi pilihan, seperti ketika TnG diperkenalkan pada awal pengenalannya dan pembayaran tunai masih dibenar untuk diteruskan.

“Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada menggunakan RFID, TnG atau SmartTAG,” katanya di Putrajaya.

Transkasi tol menggunakan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari plaza tol Juru di Pulau Pinang ke plaza tol Skudai di Johor mulai 10 malam 15 Januari lalu.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya melepaskan kemarahan mereka di media sosial, dengan ramai yang mendakwa kesesakan berpunca daripada tindakan PLUS menggantikan lorong SmartTag di beberapa tol dengan RFID, memaksa pengguna SmartTag beratur di lorong TnG.

Ismail Sabri berkata RFID, yang diperkenalkan untuk mempercepatkan masa perjalanan, adalah cadangan yang baik tetapi pemandu kenderaan juga mesti diberi pilihan memandangkan RFID adalah projek perintis dan memerlukan masa untuk diperhalusi. – 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen