Punya agama


Faisal Tehrani

SEJAK tiga tahun lalu, saya mengetuai sebuah kumpulan penyelidik untuk sebuah kajian mengenai kefahaman antara aneka agama dan kepercayaan. Penyelidikan ini dilakukan sebagai satu penyelidikan yang didanai oleh American Bar Association dengan IMAN Research Centre.

Ia bukan dilakukan dengan tujuan untuk memenangkan mana-mana agama atau kepercayaan, dan bukan dilakukan dengan objektif untuk mengajar-ajar. Namun ia dapat diketengahkan sebagai panduan atau pedoman yang munasabah.

Kajian kami ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman buat penggubal dan pengamal undang-undang ketika menangani isu-isu berkaitan kebebasan beragama.

Dengan harapan suara penganut aneka agama yang ada di Malaysia akan turut disertakan, dan diberi perhatian dalam setiap penggubalan undang-undang dan polisi di masa akan datang.

Penyelidikan dan kajian lapangan yang dilakukan ini juga amat berguna untuk menganalisis keadaan sukar dan buntu yang kita di Malaysia hadapi apabila berdepan dengan isu kebebasan beragama.

Oleh itu, akan ada tawaran dan solusi menarik yang dapat diformulasikan, dan digarap untuk mengelak terjadinya sebarang konflik atau krisis antara dan inter agama.

Kajian ini mengambil takrifan kepercayaan dan agama, dengan mengambil kira juga mereka yang tiada agama sebagai satu kepercayaan, selaras dengan apa yang digariskan oleh konvensi hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Ia juga mengambil kira kepercayaan yang dianggap sebagai “ajaran sesat” menurut parameter yang ditetapkan pihak berkuasa sesuatu agama.

Seramai 25 individu yang dapat dirujuk sebagai pihak berkuasa sesuatu kepercayaan ditemubual. Individu atau pihak yang dianggap sebagai autoriti ini mewakili kepercayaan berikut; Sunni Islam, Ahmadi, Shia Islam, Shia Islam Bohra, Sufi Islam, Liberal Islam, Sikh, Katolik Kristian, Protestan Kristian, Anglican Kristian, Evangelical Kristian, Millah Ibrahim, Paganism Bahai, Hindu, Taoism, dan Atheism.

Sehingga ini juga, selain wakil dan ketua mereka; seramai 60 individu yang merupakan penganut pelbagai agama – tetapi tidak dapat dianggap sebagai pihak yang berwenang dalam kalangan mereka –ikut ditemubual demi memahami isu kebebasan beragama yang ada di negara ini.

Dipercayai ini kajian pertama yang demikian komprehensif, berusaha mendekati kepercayaan yang dapat dianggap majoriti, mahupun minoriti dalam memahami masalah sedia ada, dan kemungkinan penyelesaiannya.

Hasil penyelidikan ini saya ingin menggagaskan satu model atau kerangka untuk meneliti isu-isu kebebasan beragama di negara ini yang saya namakan sebagai punya agama.

Punya adalah terma berasal dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud antara lain dalam bahasa Inggeris; saintly, virtue, holy, sacred, pure, good, meritorious, virtuous, righteous, just, auspicious, lucky, favorable, agreeable, pleasing, lovely, beautiful, sweet, fragrant, solemn atau festive.

Punya dalam bahasa Melayu itu juga bermakna possess dalam hal ini memiliki, atau belonging iaitu rasa kepunyaan. Ia juga bermakna hak, atau rights.

Saya menyebutkan maksud bahasa Inggerisnya untuk menunjukkan punya bukan sekadar punya atau kepunyaan yang kita fahami dalam bahasa Melayu. Jelas sekali ada makna seperti kudus, indah, selain baik dan benar. Jadi ia mencakup banyak pengertian.

Dalam konteks bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang Melayu, sebuah bangsa metaforik, kata punya itu juga menghantar maksud abstrak seperti yang dapat dikutip dalam pantun Melayu yang ditemukan dari Kurik Kundi Merah Saga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka:

Orang Cina pergi ke China,

Datang ke China berdagang babi;

Tuan punya saya pun punya,

Sekerat seorang kita berbahagi.

 

Anak Cina pulang ke China,

Datang ke China memakan babi;

Tuan punya saya pun punya,

Sedikit seorang kita berbahagi.

Punya dalam hal ini memberi indikasi perkongsian (sharing) yang menunjukkan mesej tersirat orang Melayu terbiasa dengan “berbahagi”.

Sepanjang kajian ini saya mendapati terdapat tiga pengelompokan dapat dilakukan pada isu kebebasan agama yang ada di Malaysia. Pengelompokan itu saya kategorikan sebagai berikut:

a. Yang ketara

b. Yang terbiasa

c. Yang tidak dijangkakan

Hanya dengan memahami isu dan pengelompokannya barulah kita dapat menyediakan penawar atau penyelesaian untuk setiap satunya.

Saya percaya jika kebebasan beragama di negara ini dapat menimbangkan suara ahli masyarakat yang minoriti, kita akan lebih aman-aman sahaja. Negara ini adalah kepunyaan kita, dan kita punya kepercayaan. Baik kepercayaan itu berTuhan, atau tidak, atau hanya sekadar menurut tradisi nenek moyang.

Ada pelbagai dapatan menarik untuk dikongsikan setelah penyelidikan ini selesai kelak. Sebagai contoh, dalam pengelompokan yang ketara; kita semua dengan demikian mudah dapat menebak masalah kebebasan beragama di negara ini antara lain adalah kerana terdapatnya dwi sistem perundangan tinggalan penjajah British. Masalah-masalah begini memerlukan kekuatan tekad untuk melakukan reformasi.

Untuk yang terbiasa pula misalnya ialah kita, sebagai majoriti dengan demikian mudah juga menghukum sesuatu kepercayaan itu sebagai sesat misalnya tanpa benar-benar duduk dengan mereka untuk memahami apa yang dianggap “sesat” itu.

Hal begini menjadi duri dalam daging, padahal ia hanyalah aspek kecil dalam sesuatu kepercayaan yang boleh diselesaikan dengan “punya”.

Dalam hal seperti ini saya percaya masih ada lagi peluang dan kesempatan untuk berubah dan membetulkan keadaan dengan syarat, kita sanggup mendengar dan duduk sekali.

Manakala dalam pengelompokan yang tidak dijangkakan, kami agak tidak tersangka apabila terdapat pelbagai rungutan yang menunjukkan minoriti agama di negara kita tidak lagi melihat negara ini sebagai satu tempat berlindung. Ini kerana kepimpinan negara gagal menjadi ketua negara dan hanya menjadi ketua kepada sesebuah agama terpilih semata-mata.

Hanya seorang pemimpin saja yang nampaknya terlihat memahami erti demokrasi, iaitu Sultan Perak. Sewaktu kami mula-mula melangkah memulai projek ini, Malaysia berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan penyelidikan ini diteruskan di bawah kerajaan Perikatan Nasional, dan kini kembali kepada Barisan Nasional.

Dalam perbualan kami dengan ketua-ketua agama, kami mendapati yang komuniti beragama sudah hilang kepercayaan kepada keadaan politik negara. Namakan sajalah apa pun parti. Mereka skeptikal.

Seorang pemuka kepercayaan Tao misalnya mengatakan:

“The way they play politics.”

“I don’t have hope with Malaysia.”

Meskipun demikian, saya tersentuh misalnya apabila tokoh dari sekolah pemikiran Bohra menangis di hadapan saya menjelaskan betapa dia sangat menghargai apa yang ditawarkan negara ini untuk komunitinya, dan untuk dirinya sebagai individu:

“I… I… I…actually love this country. Because… Sorry, I’m a bit emotional. Because it does give me so much and I am actually very very very fortunate because I had wonderful… wonderful life in the sense of, even my employers, the **** and all that. They are all very kind and very good to me. And I got my opportunity to do my best, get the things done and then absolutely no halangan.”

Hari ini, saya memikirkan soal kebebasan beragama di negara kita, dengan kehilangan paksa Amri Che Mat, Pastor Koh, Joshua dan isterinya Ruth; dan juga keluhan demi keluhan semua penganut agama yang kami temui — saya terhimbau kembali kata-kata Khalifah keempat dalam sejarah Islam, Ali ibn Abi Talib. Baginda mengatakan, tapak kejahilan adalah penindasan.

Jika kita masih jahil mengenal kepercayaan lain dan tidak memberi mereka hak yang wajib diperolehi sebagai manusia, maka sebetulnya tapak yang ada di negara ini malangnya bukan punya yang merangkumi pelbagai makna luas itu, tetapi tapak negara kita hanyalah kezaliman. – 25 Januari, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen