PAKATAN Harapan (PH) tidak akan mendapat banyak keuntungan dengan menarik diri daripada memorandum persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana tindakan sedemikian tidak akan memberi kesan kepada pentas politik negara, kata pakar politik.
Malah, kata mereka langkah sebegitu hanya akan membawa kepada ketidaktentuan seterusnya dalam blok pembangkang.
Mereka berkata demikian berikutan gesaan dibuat pihak tertentu agar PH mempertimbangkan semula kerjasama gabungan itu dengan perdana menteri selepas beberapa permintaan penting yang ditujukan kepada Ismail tidak diendahkan.
Salah satu gesaan ialah memecat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang didakwa melakukan salah laku dengan memiliki saham bernilai jutaan ringgit.
Walaupun terdapat kenyataan pucuk pimpinan tertinggi PH yang ingin mempertimbangkan semula peranan mereka dalam MoU itu, gabungan itu bagaimanapun berdiri teguh di sebalik MoU itu yang bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik dan memperkenalkan pembaharuan institusi.
Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil menerusi Instagram baru-baru ini berkata PH tidak akan membatalkan MoUnya kerana kerajaan akan membentangkan undang-undang anti-lompat parti pada Februari.
“Undang-undang anti-lompat parti adalah salah satu faktor utama yang ditandatangani dalam MoU dan akan dibentangkan pada Februari.
“Walaupun banyak pihak menggesa PH membatalkan MoU kerana prestasi buruk kerajaan, undang-undang anti-lompat adalah isu penting bagi demokrasi kita,” kata Fahmi, yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.
Pemerhati politik veteran, Sayuti Omar berkata, walaupun PH memutuskan untuk berundur daripada menyokong Ismail, ia tidak semestinya meletakkan PH berkuasa.
Tambahnya, ketua pembangkang Anwar Ibrahim mungkin tidak dapat meyakinkan orang lain untuk menyokongnya sebagai PM.
“Isu di sini bukan isu. Walaupun mereka memutuskan untuk menarik diri, tiada peluang besar untuk pembangkang.
“Mungkin ada PM baru tetapi ia bukan Anwar Ibrahim. Pada masa ini beliau tidak mendapat sokongan daripada ahli Parlimen dan majlis raja-raja tidak memihak kepadanya.
“Walaupun dari segi politik, perlu ada reaksi daripada pembangkang apabila kerajaan tidak mendengar tuntutan anda,” katanya.
Sayuti berkata PH telah melakukan kesilapan dengan menandatangani MoU dengan Ismail.
“Walaupun apa yang diperkatakan oleh Fahmi masuk akal, MoU itu adalah satu kesilapan. Ia hanya cara pembangkang melepaskan diri selepas tidak dapat menunjukkan sokongan tetapi ia sememangnya mengurangkan suhu politik,” katanya.
MOU mengenai transformasi dan kestabilan politik ditandatangani oleh Perdana Menteri Ismail dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau pada 13 September tahun lepas, sejurus selepas Ismail menjadi perdana menteri dalam menghadapi ketidakstabilan politik. – 25 Januari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen