SPRM tahan pengurus pemasaran babit seleweng bayaran hasil buah tandan sawit 


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pengurus pemasaran bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa membabitkan penyelewengan bayaran hasil buah tandan segar sawit, empat tahun lepas.

Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira 12.30 tengah hari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2018 hingga 2019, lelaki berkenaan telah menyalahgunakan kuasa dengan menyeleweng wang bayaran bagi hasil jualan buah tandan segar sawit tersebut berjumlah lebih RM85,000 dipercayai untuk kepentingan dirinya sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata tiada permohonan reman dibuat dan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Bernama, 24 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen