PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menerima dan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan beliau membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Zahid berkata pasukan peguam belanya akan menjalankan tugas mengikut tatacara yang ditentukan mahkamah.
“Secara peribadi, saya dan peguam saya akur dengan keputusan mahkamah seperti dibaca oleh hakim kerana ia hak mutlak hakim.
“Pasukan peguam bela saya akan menjalan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan mahkamah semasa pembelaan dan kami akan teruskan usaha perundangan ini seperti yang ditetapkan. Tarikh (pembelaan) juga sudah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di luar mahkamah.
Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mengendalikan perbicaraan 47 pertuduhan terhadap Zahid hari ini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan ada kes prima facie terhadap bekas timbalan perdana menteri.
Zahid memilih untuk membela diri secara keterangan bersumpah dari tempat saksi, yang ditetapkan selama 35 hari bermula 26 April hingga 10 November.
Kaedah pembelaan ini memberi peluang kepada pihak pendakwaan menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Hakim yang membaca keputusannya berkata Zahid diperintah membela diri selepas mahkamah menilai secara maksimum bukti yang dikemukakan pendakwaan.
Selepas mengemukakan keterangan 99 saksi, pihak pendakwaan menutup kes pada 19 Mac 2020.
Zahid dibicarakan bermula 18 November 2019 atas 12 tuduhan pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 tuduhan mengubah wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Beliau dibela barisan peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik sementara pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran. – 24 Januari, 2022.
Komen