SEMINGGU selepas mereka bergelut di hadapan Najib Razak, pelawak Sulaiman Yassin atau lebih dikenali dengan nama Mat Over dan penerbit filem David Teo dilihat duduk bersama pada satu majlis yang dihadiri perdana menteri itu.
Najib secara berseloroh merujuk kepada mereka semasa berucap pada majlis pelancaran Laporan Transformasi Negara 2016 petang ini di Shah Alam.
“Kita tidak mahu ada pergaduhan, kita mahu orang ramai berbaik antara satu sama lain dan saling membantu satu sama lain supaya negara ini aman dan harmoni.
“Malah, di depan saya, Mat Over dan Mejar David Teo juga berada di sini, duduk bersama-sama. Ini baik. Inilah yang saya sebagai perdana menteri, ingin lihat. Rakyat bersatu padu, ia satu-satunya cara untuk berjaya,” kata Najib.
Sulaiman menjadi tajuk utama akhbar apabila menghadiri majlis dengan perdana menteri pada 8 Mei menampar Teo di hadapan Najib, tetamu VIP dan semua hadirin.
Sulaiman, yang juga peserta pada sesi dialog TN50 dengan warga industri hiburan, menuduh Teo tidak hormat terhadap Najib.
Walaupun mereka kemudian meminta maaf pada majlis yang sama, kejadian itu terus menjadi kontroversi selepas beberapa kumpulan membuat laporan polis terhadap Teo.
Ketika ditemui selepas majlis malam ini, Sulaiman menegaskan sudah berdamai dengan Teo dan tiada menyimpan dendam terhadap penerbit itu.
“Kami datang untuk menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar. Kami sudah berdamai dan duduk bersebelahan antara satu sama lain. Jadi semuanya baik,” kata Sulaiman kepada media.
Beliau berkata perdana menteri sendiri meminta beliau dan Teo berdamai pada hari kejadian.
Sulaiman juga berkata polis memaklumkan kepadanya, mereka akan menyiasat kejadian itu kerana tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kedua-duanya sudah berdamai antara satu sama lain.
“Polis hanya bimbang jika kami menyimpan dendam dan jika seseorang cedera. Tetapi kerana tiada perkara seperti itu berlaku, tiada kes.” – 23 Mei, 2017.
Komen