SPRM balas dendam isu Azam Baki dengan sasar kakitangan, dakwa Sivarasa


Ravin Palanisamy

AHLI Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan operasi dengan menyasarkan kakitangannya sebagai membalas dendam kerana membangkitkan isu ketua pesuruhjayanya Azam Baki di Parlimen bulan lalu.

Ahli Parlimen PKR itu berkata pengurus pusat khidmatnya Naveen K. Rasiah, yang juga anak saudaranya, telah dipanggil oleh SPRM Kuala Lumpur dua hari lalu dan memaklumkan beliau akan berdepan dakwaan rasuah dalam satu kes pada 2017.

“Kini, sebulan selepas saya bangkitkan isu pemilikan saham Azam di Parlimen pada 14 Disember 2021, satu dakwaan yang tidak mempunyai asas tiba-tiba dibangkitkan semula oleh SPRM untuk mendakwa kakitangan saya Naveen,” kata Sivarasa dalam satu kenyataan hari ini.

Kes melibatkan Naveen empat setengah tahun lalu tidak melihat sebarang tindakan diambil selepas siasatan oleh SPRM selesai pada September 2017.

Dalam kes itu, Sivarasa telah melaporkan kepada Jabatan Imigresen mengenai kegiatan rasuah seorang ahli perniagaan warga Bangladesh bernama Monomiah Siddikur Rahman yang sedang mendapatkan permit kerja untuk rakan senegaranya sebagai pekerja pembersihan dan kakitangan di hotel dengan menggunakan dokumen palsu.

Sivarasa berkata, beliau menulis surat kepada ketua pengarah Imigresen berhubung perkara itu dan menggesa beliau mengambil tindakan.

Sebaliknya, Naveen dan dua lagi kakitangan pusat khidmatnya Joshua Kalaisevan dan Nico Kam telah ditangkap oleh SPRM pada 21 September 2017, dan direman selama empat hari.

Mereka didakwa meminta wang daripada Monomiah sebagai balasan untuk menggugurkan isu itu, kata Sivarasa.

Beliau menafikan Naveen dan kakitangannya yang lain pernah melakukan perkara itu dan menyatakan dakwaan berkenaan benar-benar palsu, berniat jahat dan tidak berasas.

Sivarasa berkata beliau juga telah memberikan keterangan kepada SPRM ketika itu dan tiada pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana kakitangannya berhubung perkara tersebut.

“SPRM menjelaskan kepada saya bahawa saya tidak dianggap mempunyai kaitan dengan perjanjian untuk bertemu Monomiah dan itu dilakukan oleh kakitangan saya.

“Tiada pertuduhan dikenakan terhadap mana-mana kakitangan saya, termasuk Naveen, selepas dibebaskan daripada reman.

“Saya yakin jika ada bukti salah laku di pihak Naveen atau yang lain ditemui, SPRM akan mendakwa serta-merta,” kata Sivarasa.

Ahli Parlimen itu mendakwa tindakan SPRM berbaur dendam peribadi yang bertujuan untuk mencemarkan imej pusat khidmatnya.

“Tindakan balas SPRM ini hanya akan merosakkan reputasinya kerana ia akan dilihat bermotifkan faktor peribadi dan mempunyai motif tersembunyi,” katanya.

Sivarasa berkata ini tidak akan menyebabkan beliau atau ahli Parlimen lain berundur daripada membangkitkan kontroversi pemilikan saham Azam di Parlimen, sambil menambah bahawa SPRM menggunakan taktik intimidasi.

Beliau menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengambil tindakan kerana integriti SPRM sedang tercalar, dan membuat kenyataan perdana menteri mengenai memerangi rasuah kosong.

Pada 14 Disember 2021, Sivarasa membangkitkan isu dakwaan pemilikan saham Azam di Dewan Rakyat, mempersoalkan sama ada ketua pesuruhjaya telah mengisytiharkannya, dan menggesa siasatan dijalankan.

Azam menjadi tumpuan berhubung pemilikan sahamnya dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015 dan 2016 semasa beliau menjadi ketua penyiasatan SPRM.

Beliau berkata adiknya Nasir telah menggunakan akaun dagangannya dan saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya.

Namun Suruhanjaya Sekuriti (SC) selepas menyelesaikan siasatannya mengenai perkara itu, berkata Azam mempunyai kawalan penuh ke atas akaun dagangannya, membersihkannya daripada salah laku.

Ahli politik pembangkang dan masyarakat sivil menuduh Azam berbohong dan menggesa SC memberikan lebih banyak bukti. Persoalan juga timbul sama ada Azam telah melanggar peraturan perkhidmatan awam yang mengehadkan pemilikan saham bernilai lebih RM100,000, dan sama ada beliau mematuhi syarat untuk mengisytiharkan hartanya.

Azam dikatakan memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun yang sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya. Pada masa itu, beliau adalah pengarah siasatan SPRM. – 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen