DAP akan mendekati rakyat Malaysia yang tidak mahu mengundi atau akan membuat undi rosak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat yang tidak senang dengan keadaan politik sekarang patut mengadu pada parti, bukannya terus memboikot.
“Mereka boleh suarakan pandangan mereka kepada DAP. Saya dah minta orang-orang saya menyusun semua maklum balas,” katanya kepada The Malaysian Inisght.
Tambah Lim, beliau sendiri akan meneliti rungutan rakyat selepas Tahun Baharu Cina nanti.
Parti politik dari kedua belah pihak baru-baru ini menyatakan kebimbangan dengan kempen melalui media sosial yang mengajak pengundi memboikot PRU14 dengan tidak mengundi atau merosakkan kertas undi.
Kempen itu berterusan melalui Twitter dan komen-komen di laman media sosial lain yang disertakan dengan tanda pagar #UndiRosak, #SpoiltVote, #ProtesPRU dan #GEProtest.
Rata-rata pengguna media sosial menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan hampir semua parti politik sedia ada di Malaysia.
Lim yang juga timbalan presiden Pakatan Harapan berkata, beliau sentiasa terbuka untuk berdialog dengan rakyat bagi mendengar pandangan mereka.
“Tidak kira sesibuk manapun kami, kami akan luangkan masa untuk mendengar keluhan rakyat.
“Kami cuma mahu berbincang dan memahami akar kebimbangan mereka. Saya fikir mereka sudah putus harapan.
“Tapi kami rasa yang (mereka) tidak perlu putus asa. Bila dah putus asa, mereka akan menang. Siapa yang menang? Mereka yang sedang berkuasa lah. Status quo pun akan kekal,” katanya.
Bagaimanapun, Lim berkata beliau tidak melihat bantahan oleh pengundi yang putus asa ini sebagai ancaman terhadap PH mahupun DAP, sebaliknya menganggap sebagai pembaziran.
“Sama ada mereka nak bantah atau tidak, itu pilihan demokratik mereka. Tapi kami berpandangan yang rakyat perlu buat pilihan.
“Tidak memilih bukanlah pilihan langsung. Sebarang pergerakan untuk boikot (mengundi) sebenarnya pembaziran kertas undi. Tidak berguna,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Tambahnya, dengan memboikot PRU, pengundi akan rugi kerana tidak berpeluang memberi mesej kepada elit pemerintah.
“Kalau awak buat itu (boikot), BN akan kekal berkuasa. Ia tak membawa apa-apa kecuali menguntungkan BN.
“Kami tak cakap yang kami (pembangkang) terbagus, tetapi kami tetap lebih bagus berbanding BN,” katanya, menambah yang rakyat perlu membuat pilihan jika mahu memberi manfaat dan memajukan sumber negara. – 5 Februari, 2018.
Komen