Peru isytihar darurat alam sekitar di pantai terjejas tumpahan minyak


Peru akan mengurus 21 pantainya selepas dicemari 6,000 tong minyak yang tumpah dari kapal tangki di loji penapisan. – Gambar EPA, 23 Januari 2022.

PERU pada Sabtu mengisytiharkan “darurat alam sekitar” di sepanjang pantai yang terlibat tumpahan minyak yang disebabkan oleh gelombang laut akibat letusan gunung berapi di Pasifik Selatan.

Menerusi dekri 90 hari itu, kerajaan berkata ia merancang “pengurusan mampan” 21 pantai yang dicemari 6,000 tong minyak yang tumpah dari kapal tangki yang memunggahnya di kilang penapisan pada Sabtu lalu.

Kemalangan itu berlaku selepas letusan kuat gunung berapi bawah laut berhampiran negara Tonga, menyebabkan gelombang tsunami di sekitar Pasifik dan sehingga sejauh Amerika Syarikat.

Di Peru, tumpahan minyak berhampiran Lima mengotori pantai, membunuh burung dan menjejaskan industri perikanan dan pelancongan.

Kerajaan menuntut bayaran ganti rugi daripada gergasi tenaga Sepanyol yang memiliki kilang penapisan itu.

Kementerian alam sekitar berkata 174 hektar—bersamaan dengan 270 padang bola sepak—laut, pantai dan rizab semula jadi terjejas akibat tumpahan itu.

Krew sedang berusaha untuk membersihkan tumpahan itu.

Ketika mengisytiharkan darurat pada Sabtu, kementerian alam sekitar berkata: “tumpahan itu merupakan peristiwa mengejutkan yang memberi kesan ketara kepada ekosistem marin pantai, yang mempunyai kepelbagaian biologi utama.”

Ia berkata dalam jangka pendek Repsol bertanggungjawab untuk operasi pembersihan kecemasan.

Kilang penapisannya terletak di bandar Ventanilla berhampiran Lima.

Repsol berkata tumpahan itu berlaku kerana gelombang yang disebabkan oleh letusan di Pasifik.

Syarikat berkata ia tidak bertanggungjawab ke atas tumpahan itu dan kerajaan tidak memberi amaran kemungkinan terdapat gelombang akibat letupan dasar laut itu separuh jalan di seluruh dunia.

Minggu lalu nelayan dan penduduk tempatan lain yang tinggal di sekitar pantai dan pelancongan mengadakan protes kerana kehilangan mata pencarian mereka secara mengejut. – AFP, 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen