Peguam bantu penduduk Taman Sri Muda dalam saman sivil


Elill Easwaran Noel Achariam

Ribuan penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam terjejas banjir teruk pada bulan lalu, dengan ramai yang mengalami kerugian apabila rumah ditenggelami hingga paras bumbung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2022.

FIRMA guaman Raj dan Scah sedang berusaha membantu penduduk Taman Sri Muda di Shah Alam bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap banjir yang melanda kawasan itu tahun lepas.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight adalah adil jika penduduk yang kehilangan mata pencarian diberi pampasan secukupnya terhadap kerugian mereka.

Peguam sanggup memikul beban penduduk secara pro bono dan memulakan tuntutan tindakan sivil sebaik saja mereka mendapat sokongan mencukupi.

Peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata minggu lalu pihaknya bertemu dengan penduduk dan memberi nasihat undang-undang kepada mangsa tentang tindakan yang boleh diambil.

Beliau berkata mereka dihubungi kumpulan masyarakat sivil, Otai Reformasi untuk membantu penduduk, sambil menambah akan ada tindakan saman terhadap kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kami belum memulakan sebarang tuntutan lagi. Tetapi, kami mahu berbuat demikian pada masa yang tepat, dengan syarat kami mendapat sokongan yang betul.

“Kami sedang menunggu rakan kongsi kami di lapangan untuk menyediakan sistem untuk kami bawa saman itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sachpreetraj berkata daripada perspektif undang-undang, tindakan boleh diambil terhadap kerajaan persekutuan dan negeri.

“Kita harap dapat kumpulkan kira-kira 100 penduduk atau lebih untuk diwakili, yang terjejas akibat banjir.

“Kandungan saman itu ialah mereka (kerajaan persekutuan dan negeri) cuai dan melanggar kewajiban fidusiari.”

Beliau berkata saman itu akan menjadi langkah terbesar bagi mewakili penduduk Taman Sri Muda dan mereka yang memerlukan bantuan daripada sesiapa saja.

Peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata pihaknya bertemu penduduk dan memberi nasihat undang-undang kepada mangsa banjir tentang tindakan yang boleh diambil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2022.

“Kami bercadang untuk memulakan saman pada separuh pertama tahun ini. Tetapi, ia bergantung kepada seberapa cepat kumpulan masyarakat sivil boleh menyediakan penduduk.

“Sebab kami melakukan ini (saman) kerana kami mengharapkan tindak balas dan pentadbiran yang lebih baik oleh kerajaan.

“Ini satu cara untuk mendapatkan keadilan, sekurang-kurangnya untuk penduduk.”

Exco Selangor Izham Hashim berkata penduduk berhak jika ingin mengambil tindakan undang-undang.

Pengerusi jawatankuasa infrastruktur dan pertanian negeri itu berkata walaupun mereka sudah melakukan yang terbaik, namun terdapat kekurangan ketika banjir tersebut.

“Ia hak mereka (penduduk) atas apa yang mereka mahu lakukan. Kami boleh buktikan kepada mereka kami sudah melakukan semaksimum yang kami mampu pada masa itu.

“Kami sudah melakukan yang terbaik. Ya, kami memang akui ada kelemahan. Kami boleh perbaiki. Tetapi, realitinya tempat itu (Taman Sri Muda) adalah kawasan rendah.” – 23 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen