PAS mesti bertanding 222 kerusi, bukan 100


Mandeep Singh

SEJAK kebelakangan ini, rakyat Malaysia sering membaca berita mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. Kebanyakan pengundi, penyokong, bekas ahli dan penyokong PAS dilihat keliru dengan semua pengumuman yang dibuat kepimpinan parti Islam itu.

Mari kita melihat semula kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS sejak 9 April hingga 14 Mei, 2017 lalu. 

Pada 9 April, 2017, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyatakan PAS akan bertanding 80 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk kerusi dimenangi DAP dan PKR di Wilayah Persekutuan.

Namun pada 27 April, 2017, bekas ketua Pemuda PAS yang penuh karisma dalam sejarah kepimpinan Dewan Pemuda iaitu Nik Abduh berkata, PAS yakin memenangi 40 kerusi Parlimen dan menawan lima negeri. 

Antara negeri yang dinamakan bakal diperintah adalah Kedah Darul Aman di mana berlangsungnya Muktamar PAS lalu. Walaupun jumlah kerusi Parlimen kurang 50% daripada  Idris, namun semangat menawan lima negeri amat mengagumkan.

Tetapi nada yang berbeza pula kedengaran daripada Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan pada 14 Mei lalu yang berkata ia akan bertanding 100 kerusi Parlimen. 

Namun, wakil rakyat Temerloh ini tidak menceritakan tentang menawan lima negeri. Mungkin ini strategi beliau untuk tidak berkongsi informasi negeri mana bakal ditawan supaya tidak disabotaj mana-mana pihak terutama DAP.

Setelah membaca tiga kenyataan ini, saya menjadi amat keliru untuk memahami bagaimana PAS akan menawan Putrajaya. Saya menjadi amat keliru kerana jumlah kerusi minima yang harus dimenangi sesebuah parti atau gabungan untuk menawan Putrajaya adalah 112.

Lima hari, lima malam saya mengira menggunakan kalkulator dengan pelbagai formula Matematik dan Matematik Tambahan, tetapi tetap gagal mendapat angka 112. 

Maka, jelas PAS tidak mungkin akan menawan Putrajaya jika hanya bertanding 100 kerusi Parlimen.

Di sini, saya ingin mencadangkan kepada PAS untuk bertanding 222 kerusi Parlimen pada PRU14 nanti. 

Ini kerana, hanya dengan bertanding lebih 112 kerusi akan membantu PAS menawan Putrajaya dan hanya dengan cari ini, cita-cita Nasrudin untuk memastikan 2/3 ahli Dewan Rakyat beragama Islam akan dapat direalisasikan.

PAS hari ini merupakan kapten dalam Gagasan Sejahtera  yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang diterajui bekas menteri  Abdul Kadir Sheikh Fadzir. 

PAS kini tidak perlu risau tentang perundingan kerusi dengan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana ia tidak berada dalam Pakatan Harapan (PH). 

Dan kini, PAS sudah tiada jalinan politik bersama PKR kerana pada Muktamar PAS lalu sebulat suara memutuskan hubungan tahaluf-siyasi antara dua parti ini. Soal kenapa exco tidak letak jawatan di Selangor lagi, kita tolak tepi dahulu.

Sebagai sebuah politik yang tertua dan berpengalaman dalam arena politik di Malaysia, PAS sepatutnya menggunakan peluang keemasan ini untuk bertanding di semua kerusi Parlimen kerana hanya dengan cara ini sahaja, PAS akan berjaya menunjukkan kepada parti lawan tidak kira Barisan Nasional (BN) atau PH dan terutamanya DAP yang ia bukan parti “cakap tak serupa bikin”. 

Dengan ini juga PAS akan berjaya menunjukkan kepada semua yang ia tidak memerlukan pertolongan mana-mana pihak untuk memenangi PRU dan seterusnya memerintah Malaysia.

Ya, kita sering mendengar analisa tentang PAS tidak akan mampu memenangi apa-apa kerusi DUN di Selangor jika bergerak bersendirian dalam pilihan raya. Memang betul, PAS hanya berjaya memenangi lapan kerusi pada PRU12 ketika berkerjasama dengan DAP dan PKR. Dan kemudiannya, memenangi 15 kerusi pada PRU13. 

Tetapi kini, situasinya sudah berbeza. Kepimpinan PAS hari ini terdiri daripada pelbagai tokoh yang penuh berpengalaman dalam arena politik yang menghasilkan pelbagai analisis tentang bagaimana mereka akan berjaya menawan Selangor. Sebahagian daripada mereka mempunyai pangkat kedoktoran.

Kini sudah tiba masanya PAS menunjukkan taring dalam politik Malaysia. Cukuplah selama ini berkompromi dengan parti yang tidak pernah menghargai peranan dan bantuan PAS selama ini. Kalau sebelum ini, semuanya harus dibincang bersama ahli gabungan, tetapi kini PAS tidak perlu melalukannya lagi kerana PAS bersendirian.

PAS akan dilihat sebagai parti yang lemah dan kecil jika hanya bertanding 100 kerusi. PAS akan diperlekehkan jika hanya bertanding 100 kerusi. Apakah PAS mahu diperlekehkan lagi oleh rakyat Malaysia? 

Sudah pasti, PAS tidak mahu ini berlaku. Biarlah orang memperlekeh PAS hari ini kerana ceramah PAS tidak mendapat sambutan seperti Bersatu yang dihadiri ribuan orang, tetapi apa yang penting adalah terus mengatur strategi memenangi PRU14 walaupun ceramah dihadiri 17 orang. 

Saya yakin, PAS tidak akan punyai masalah mengenal pasti 222 calon untuk bertanding di kerusi Parlimen, kerana PAS punyai ramai pemimpin berkaliber dalam kepimpinan hari ini.

Saya juga dengan rendah hati ingin mencadangkan agar Nasrudin bertanding di kerusi Parlimen Bagan di Pulau Pinang. Saya berharap agar BN tidak akan meletakkan calon di kerusi ini kerana biarlah Nasrudin berdepan Lim Guan Eng.

PAS harus jadikan Bagan sebagai kerusi pertama dimenangi sebelum sampai ke Putrajaya. Kerusi kedua yang harus menjadi sasaran PAS adalah Seputeh. Jikalau Nik Abduh yang bertanding kerusi ini, saya yakin ia kerusi kedua bakal dimenangi PAS.

Sebagai langkah pertama untuk menawan Putrajaya dan menunjukkan kehebatan PAS, saya mencadangkan ia bertanding DUN Pujut pada PRK yang akan berlangsung pada 4 Julai nanti. 
PAS boleh menjadikan Pujut sebagai satu batu loncatan menawan Putrajaya. PAS boleh menggunakan slogan “Dari Pujut ke Putrajaya”.

Akhir sekali, harapan besar saya adalah untuk melihat Nasrudin menjadi menteri belia dan sukan kerana saya amat yakin beliau akan berjaya membawa penyatuan kaum muda di Malaysia dan juga memulihkan sektor kesukannya tanah air kita.

Oleh itu, saya amat berharap PAS akan mengkaji semula cadangan tiga pemimpin ini yang hanya mahu bertanding 40, 80 dan 100 kerusi sahaja.

PAS harus bertanding 222 kerusi. Lagipun, kos untuk bertanding 222 kerusi hanya RM2.2 juta yang saya percaya PAS mampu mengumpulkannya melalui fund-raising daripada ahlinya. – 24 Mei, 2017.

*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen