NGO alam sekitar gesa Agong campur tangan isu tebang hutan


Aminah Farid

Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Otai Reformis, Green Peace Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Harapan Empati Aduan Rakyat menghantar memorandum kepada Agong hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Januari, 2022.

NGO alam sekitar dan kumpulan masyarakat sivil menggesa Yang Di Pertuan Agong memberi tekanan kepada Putrajaya untuk mewartakan jajaran tengah hutan Banjaran Titiwangsa sebagai taman negara selepas tragedi banjir besar yang didakwa aktivis berkaitan dengan penebangan hutan.

Dalam memorandum dihantar kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kumpulan itu juga menggesa kerajaan persekutuan mengambil alih pengurusan banjaran.

Tuntutan lain termasuklah penguatkuasaan serta merta moratorium lesen konsensi pembalakan dan perlombongan di kawasan hutan simpan kekal dan hutan kerajaan di semua negeri selama 25 tahun.

Ia juga mendesak pembiayaan mencukupi diberikan bagi mengukuhkan operasi bantuan pasca banjir, yang perlu digabungkan dengan penilaian kerugian dan bantuan kewangan yang tepat, adil dan saksama untuk semua mangsa tanpa mengira kaum dan agama.

“Banjir tahunan dah jadi seperti temasya sekarang, jadi kami gesa Agong masuk campur dan beri tekanan kepada Putrajaya untuk bertindak sekarang demi generasi masa hadapan,” kata Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil, Presiden Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

“Kami juga menggesa kerajaan untuk meminda peruntukan tertentu di bawah Akta Perhutanan 1984, termasuklah hukuman lebih berat kepada penjenayah iklim seperti denda RM10 juta dan hukuman penjara lima hingga 30 tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

“Kami juga mahu kuasa kerajaan negeri dalam pengurusan hutan kita dihadkan.”

Selain itu, Shariffa berkata kerajaan perlu mewajibkan semua negeri mengadakan sesi perbincangan awam dengan Majlis Pakar Perhutanan Negara bagi mendengar aduan berkaitan pengurusan hutan pihak berkuasa negeri.

Shariffa yang sebelum ini menggesa larangan aktiviti pembalakan komersial bagi menghalang kejadian banjir juga berharap penghantaran memorandum kepada Istana akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk bertindak lebih serius.

Kumpulan lain yang turut hadir untuk penyerahan memorandum itu adalah Otai Reformis, Green Peace Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Harapan Empati Aduan Rakyat. – 22 Januari, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen