Ahli Parlimen kecam Kabinet Hadi


Jason Santos

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata tiada apa-apa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyokong penubuhan kabinet PAS itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018.

CADANGAN PAS untuk menubuhkan dua Kabinet berbeza mendapat kecaman dari kalangan ahli Parlimen pembangkang dengan mengatakan ia bukan sebahagian daripada prinsip asas mengapa Malaysia dibentuk.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata cadangan PAS untuk menetapkan peranan berbeza kepada orang Islam dan bukan Islam dalam dua Kabinet menjejaskan struktur asas Perlembangaan Persekutuan yang menyokong keadilan dan kesamaan.

Tiada apa-apa dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyokong penubuhan kabinet PAS itu, katanya.

“Perkara 43 memperuntukkan komposisi satu kabinet, bukan dua. Tiada bahagian dalam peruntukan  untuk kabinet yang terlibat dengan kebajikan nasional manakala satu lagi melaksanakan dasar itu.

“Jadi, pada fikiran saya, cadangan itu mengganggu struktur asas Perlembagaan.. dan pada saya tidak berperlembagaan,” kata Gobind sebagai mengulas cadangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam.

Menurut Gobind, beliau percaya rasa hormat di antara semua kaum perlu wujud dalam pembangunan negara. Tambahnya lagi, Malaysia harus dibentuk mengikut apa yang ada dalam fikiran mereka yang merangka Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 8 dan 43.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata setiap kaum akan diberi peranan tersendiri dalam pentadbiran PAS jika parti Islam itu berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Beliau berkata PAS bercita-cita untuk menubuhkan dua Kabinet berbeza dalam pentadbiran kerajaan. Orang Islam akan diletakkan dalam kabinet yang menentukan dasar nasional sementara bukan Islam akan dilantik dalam kabinet lain untuk melaksanakan dasar.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong berkata cadangan itu berbahaya dan tidak wajar serta akan mewujudkan ketegangan di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kepercayaan dan agama.

“Kita perlu bina sebuah negara yang saling menghormati semua kaum dan agama sebagaimana yang tertakluk dalam Perlembagaan,” kata ahli Parlimen Sandakan itu.

Sementara itu, Adun Kapayan Edwin Bosi menasihatkan Hadi supaya mengkaji dan memahami semangat di sebalik pembentukan Malaysia 55 tahun dulu.

Bekas penyokong setia DAP dan aktivis hak asasi orang asli itu berkata Hadi tidak memahami “semangat Perjanjian Malaysia 1963” yang jelas tidak mengubah Malaysia kepada sebuah nejagara Islam.

“Buat apa Sabah dan Sarawak bantu pembentukan Malaysia kalau Malaya mahu bina sebuah negara Islam pada 1960-an dulu? Sebab itulah Malaysia ialah sebuah negara sekular,” tegasnya. – 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen