#TangkapAzamBaki bukti kerajaan perlu bertindak, kata politikus


Ravin Palanisamy Elill Easwaran

Protes #TangkapAzamBaki mencetuskan kehairanan banyak pihak apabila beberapa lokasi strategik KL ditutup bagi mengelak ia berlaku, sesuatu yang tidak berlaku pada protes sebelum ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Januari, 2022.

PUTRAJAYA perlu bertindak ke atas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki selepas kontroversi pemilikan sahamnya menyebabkan rakyat turun ke jalan raya melakukan bantahan, kata politikus.

“Kami selaku ahli Parlimen pun tak boleh bawa perkara ini ke Parlimen, jadi kerana itu saya di sini bersama orang muda.

“Saya harap kerajaan akan bertindak selepas melihat khalayak di sini,” kata Ahli Parlimen Seputeh Teressa Kok pada protes #TangkapAzamBaki.

Himpunan dianjurkan kumpulan masyarakat sivil dan organisasi politik itu didakwa polis dianjurkan secara haram selepas polis mendapatkan arahan larangan berhimpun di kompleks beli belah, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek dari mahkamah.

Polis turut menutup beberapa jalan raya utama di ibu kota hari ini, bagi menghalang protes itu berlaku di tempat berkumpul, di hadapan Sogo Kuala Lumpur.

Penganjur kemudiannya mengubah tempat berkumpul di Stesyen LRT Bangsar sebelum polis turut menutup laluan ke situ dan kawasan sekitarnya.

Perhimpunan itu bermula jam 11 pagi dan berakhir pada 12.45 tengah hari. Hampir 200 orang berjaya berhimpun di stesyen Bangsar.

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran pula mendesak Azam meletak jawatan atau menghadap Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSS).

Katanya, Azam tidak lagi boleh bersembunyi dan perlu bersedia untuk disiasat.

“Apa lagi nak sembunyi? Dia hanya perlu jujur dan telus dengan jawapannya.

“Tetapi dia buat apa sahaja untuk mengelak daripada siasatan terbuka. Ini menunjukkan banyak benda tak kena,” katanya.

Menyentuh tentang tindakan polis menghalang protes bermula di Sogo hari ini, Rajiv berkata beliau mengesyaki ada perkara lain di sebalik kes Azam.

“Malah ketika protes Lawan tahun lepas pun, mereka tak tutup KL.

“Tetapi kenapa mereka tutup (KL) untuk seorang yang bukan pun perdana menteri,” tambahnya.

Gerakan #TangkapAzamBaki disokong oleh 33 kumpulan sivil dan 11 organisasi politik.

Protes dijalankan bagi mendesak Azam ditahan polis, susulan dakwaan beliau membeli berjuta-juta saham pada 2015 dan 2016.

Jawatankuasa Tangkap Azam Baki berkata ia kecewa dengan tindakan polis mengepung KL hanya kerana seorang individu.

Tindakan polis itu seolah-olah Azam seseorang yang “sangat berkuasa”, kata jawatankuasa. – 22 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen