906 individu positif Covid-19 masuk hospital semalam, kata KKM


Aminah Farid

Lembah Klang terus merekodkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 tertinggi, kata KKM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2022.

SERAMAI 906 individu positif Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam, naik sedikit berbanding 750 orang pada Khamis, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Kemasukan ke hospital bawah 1,000 sejak 6 Januari lalu, ketika itu seramai 920 orang dirawat kerana jangkitan Covid-19.

Data KKM di laman web CovidNow menunjukkan kadar penggunaan katil turun kepada 65.4% daripada 62.2%. Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 pula naik kepada 26% daripada 24.6%.

Tahap serius jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital, manakala kapasiti hospital merangkumi penggunaan katil, bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan.

Lembah Klang terus merekodkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 tertinggi, dengan Selangor 312 kes, diikuti Kuala Lumpur (72) dan Putrajaya (7).

Kadar penggunaan katil di Lembah KLang termasuk kes Covid-19 paling tinggi meningkat kepada 59.4% daripada 48.4%. – 22 Januari, 2022.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen