PENAMATAN kontrak dan pemberian imbuhan yang rendah menunjukkan pihak berkuasa sukan negara mengabaikan para atlet Malaysia, kata veteran sukan.
Mereka berkata kebajikan para atlet ini tidak dijaga walaupun telah menyumbang pingat serta bertungkus lumus mengharumkan nama negara.
Bekas setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia Sieh Kok Chi berkata masalah terbesar yang dihadapi oleh para atlet ialah kekurangan gaji.
“Kerajaan tidak ada sistem gaji seperti untuk doktor, jurutera dan profesional lain,” kata Sieh kepada The Malaysian Insight.
Awal bulan ini, pemenang pingat emas 110 meter lari berpagar Sukan SEA Rayzam Shah Wan Sofian mendedahkan elaun atlet telah dikurangkan kepada cuma RM800 sebulan daripada RM2,000 sebelum ini.
Sebelum ini, pemenang pingat emas Sukan SEA akan diberikan wang tunai RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa mendapat RM800.
Rayzam berkata lebih baik kerja di McDonald’s selepas elaun dikurangkan kepada RM800.

Sieh, bekas pemain polo air yang mengetuai kontinjen Malaysia di Sukan SEA Brunei pada 1999 berkata sukan tidak bermakna tanpa pengorbanan atlet.
“Tanpa atlet, kita tidak akan dapat pingat atau kemegahan.”
Daripada meramaikan pegawai dalam Majlis Sukan Negara (MSN), Sieh berpandangan mereka patut diberhentikan.
“Wang itu perlu disalurkan kembali kepada atlet.”
Pada awal Januari lalu, MSN mengumumkan penamatan 144 atlet negara termasuk yang mencipta sejarah buat Malaysia dalam pertandingan peringkat tertinggi berikutan kekurangan dana.
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pada Disember MSN telah putuskan untuk kurangkan jumlah atlet sepenuh masa daripada 432 kepada 288 pada 2022.
Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia Tang Kwai Mae turut menyoal bagaimana atlet dapat menampung kehidupan mereka dengan wang yang sangat sedikit.
“Elaun mereka telah dipotong sebanyak 60 peratus, bagaimana mereka hendak bertahan? Mereka tidak ada kontrak dan lebih-lebih lagi elaun mereka telah dipotong. Ini menjejaskan semangat mereka dan mereka jadi kurang motivasi.”
Bagi membangunkan bakat baharu, Persekutuan Renang Malaysia turut merekrut perenang baharu pada 2018 dan 2019, katanya.
“Kami telah berusaha membangunkan masa depan renang Malaysia, tetapi kini para atlet berasa terpinggir.
“Ada tiga pertandingan sukan utama tahun ini. Tidak bermakna tanpa atlet.”
Kewangan tidak stabil
Juara terjun Cheong Jun Hoong berkata memandangkan atlet tidak dianggap sebagai pekerja tetap, amat sukar bagi mereka mendapatkan bantuan kewangan.
“Susah untuk atlet dapatkan pinjaman untuk beli rumah atau kereta. Kami perlu tunjuk banyak dokumen termasuk sijil kerja oleh MSN untuk mohon pinjaman kami.
“Elaun dalam kontrak MSN tidak dianggap sebagai gaji. Lebih teruk lagi, kontrak cuma setahun.
“Walaupun pinjaman kami diluluskan, ia tidaklah banyak, mungkin hanya 80% berbanding 90%. Kami juga perlu membayar lebih banyak wang pendahuluan.”
Sebagai tindak balas terhadap pemotongan elaun Rayzam, Cheong berkata ianya tidak adil kerana sebagai atlet sambilan, beliau tidak berhak mendapat tempat tinggal dan makanan.
Tambahnya, elaun juga terikat dengan prestasi atlet.
“Pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, setelah menang perak untuk acara terjun 10m, elaun saya antara RM7,000 dan RM7,500.
“Bukan mudah untuk jadi seorang atlet. Kami berada di puncak kami selama 10 tahun, sukan ini meletihkan dan kami hampir tidak menjana wang.”
Pemenang pingat emas Olimpik menerima elaun RM7,500 manakala pemenang pingat perak RM7,000 dan gangsa RM6,500.
Bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, pemenang pingat emas menerima RM4,500, perak RM4,000 manakala gangsa RM3,500.
Pemain kebangsaan Lee Zii Jia menjadi tajuk utama minggu ini selepas mengemukakan peletakan jawatannya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Khabarnya beliau berhenti kerana tekanan yang terlalu tinggi. Dilaporkan pemain nombor tujuh dunia itu menyertai Kelab Raket Kuala Lumpur untuk kontrak tujuh angka.

Diabaikan selepas bersara
Baru-baru ini, bekas perenang Paralimpik Koh Lee Peng menjadi tumpuan apabila beliau dilihat menjual tisu di jalan raya Kuala Lumpur.
Kesnya itu menyerlahkan pengabaian yang dihadapi oleh atlet apabila mereka bersara.
Koh yang memenangi tujuh pingat emas dan tiga pingat perak pada Sukan Paralimpik dari 2001 hingga 2005 berkata beliau pernah dihina ketika menjual barangannya, namun kini beliau sudah biasa dengan tohmahan sebegitu.
“Kalau jualan bagus, saya boleh buat sehingga RM400 sehari. Pada hari yang teruk, ia mungkin hanya RM10. Tetapi saya masih perlu bayar sewa dan kos lain.”
Sejak kesnya diketengahkan, Koh berkata ramai yang mendekatinya, malah meminta nombor akaunnya untuk memberi sumbangan. – 23 Januari, 2022.
Komen