KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 16 lagi kematian akibat Covid-19 setakat 11.59 malam tadi, termasuk dua kes berlaku di luar hospital (brought in dead).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 kini meningkat kepada 31,869 kes, menurut KKM.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Selangor melaporkan angka kematian tertinggi iaitu 4 kes, diikuti Sabah (3), Negeri Sembilan (2), Pulau Pinang (2), Johor (1), Kedah (1), Kelantan (1), Perak (1) dan Kuala Lumpur (1).
Tiada kematian akibat Covid-19 dicatatkan di Melaka, Perlis, Terengganu, Labuan, Sarawak dan Putrajaya.
Kadar purata kematian Covid-19 negara adalah 0.5%. – 22 Januari, 2022.
Komen