Jangan ambil ruang hijau kami, kata penduduk, peniaga Desa Sri Hartamas


Noel Achariam

Penduduk dan peniaga membantah cadangan pembinaan gerai di kawasan hijau di Desa Sri Hartamas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Januari, 2022.

PENIAGA dan persatuan penduduk di Desa Sri Hartamas bengang dengan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membina gerai di dua ruang hijau di kawasan komersial yang memang sudah sedia sesak di situ.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight sebarang cadangan untuk membangunkan kawasan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk selain masalah kebersihan.

Penduduk juga tidak berpuas hati kerana tidak dimaklumkan sebelum DBKL bercadang membangunkan gerai itu, dan mereka mendesak DBKL menghentikan projek itu.

Setiausaha Persatuan Pemilik dan Peniaga Desa Sri Hartamas Lavinia Kumaraendran berkata mereka terkejut apabila mengetahui tentang projek itu minggu lalu.

“Dua plot itu saja yang tinggal kawasan hijau di kawasan komersial ini.

“Kenapa rompak ruang hijau kami? Kami bimbang bila ada semakin banyak gerai, trafik di sini akan bertambah sesak.”

Katanya, mereka memang sedang berdepan masalah kesesakan lalu lintas di situ dan kawasan komersial tidak mempunyai tempat letak kenderaan mencukupi.

“Kami turut memohon kepada DBKL untuk membina tempat letak kenderaan bertingkat di sini bagi mengelak masalah letak kenderaan.

“Bertambah gerai di sini akan hanya menjadikan masalah kesesakan di sini bertambah buruk. Jalan di sini sempit dan orang ramai berjalan kaki di situ kerana laluan pejalan kaki dihadang oleh gerai.”

Beliau turut mempersoalkan mengapa persatuan penduduk dan peniaga tidak dimaklumkan berkenaan projek itu.

“Kami ingin tegaskan yang kami tidak terbabit dengan projek ini. Semua pemilik kedai atau penyewa tidak terbabit.

“DBKL tahu kewujudan persatuan kami, tetapi mereka tidak meminta pendapat kami berkaitan projek itu.

“Kami sangat kecewa. Tiada kaji selidik atau kajian dilakukan.”

Setiausaha Persatuan Pemilik dan Peniaga Desa Sri Hartamas Lavinia Kumaraendran berkata mereka hanya mengetahui tentang projek itu minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Januari, 2022.

Awal tahun ini, DBKL memasang papan tanda di dua plot berkenaan, berkenaan cadangan membangunkan gerai di kawasan itu.

Lavinia berkata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh memuat naik isu itu di Twitter dan pada 14 Januari, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias melawat kawasan itu.

Katanya, ketika lawatan Jamaluddin minggu lalu mereka menyerahkan surat kepadanya berkenaan masalah mereka.

“Kami dapat tahu yang projek itu membabitkan pembinaan enam hingga lapan gerai di setiap plot. Jalaluddin kemudian mengarahkan projek itu ditangguhkan serta-merta.

“Kami minta beliau kuatkuasakan moratorium sehingga semua isu diselesaikan.”

Beliau berkata sebelum mengetahui tentang projek gerai itu pun, persatuan berkenaan menghantar dua surat kepada DBKL berkenaan kesesakan lalu lintas di situ sejak 2020.

“Kami hantar surat kerana sejak 2020, gerai semakin banyak di stesen minyak Shell bersebelahan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Ada satu masa dulu, kira-kira 30 gerai di situ yang turut mengambil kawasan pejalan kaki.

“Kami bukan hendak sekat orang berniaga, tetapi perlu ada kawasan sesuai untuk mereka.”

Ahli jawatankuasa Persatuan Penduduk Desa Sri Hartamas Shahril Hamzah berkata aliran trafik di kawasan itu terlalu sesak.

“Kesesakan makin teruk di sini. Tidak patut ada gerai lagi di kawasan hijau kami yang kecil ini.

“Ia bukan idea yang baik dan akan menimbulkan banyak masalah. Bukan masalah lalu lintas saja, tetapi kebersihan juga.”

Beliau berharap DBKL akan mengkaji masalah itu dan mencari lokasi lain untuk gerai terbabit.

“Kami faham masa ini ramai yang mahu berniaga untuk mencari pendapatan. Tetapi meletakkan gerai di kawasan sesak ini tidak tepat.” – 22 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen