22 ditahan kes seleweng dana Mitra, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM tahan 22 individu berhubung kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra). – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2022.

SERAMAI 22 individu ditahan dalam kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), menurut agensi antirasuah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, enam daripadanya yang terdiri daripada pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan turut direman.

Perintah tahanan reman diperolehi di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan Putrajaya hari ini, masing-masing untuk tempoh antara empat ke enam hari kata sumber.

“Daripada 22 yang ditahan, enam direman manakala 16 lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Operasi dijalankan di tujuh negeri iaitu di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka semalam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Siasatan ke atas penyelewengan dana Mitra masuk fasa kedua selepas agensi itu membentuk jawatankuasa khas dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara.

Ia bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran Mitra, membabitkan peruntukan kurang RM1 juta.

Dalam fasa pertama, SPRM menumpukan kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Setakat Oktober, sebanyak 10 syarikat sudahpun dicadangkan untuk didakwa, merangkumi peruntukan RM26 juta.

Menurut SPRM, siasatan melibatkan 10 syarikat itu mendapati kebanyakan kesalahan melibatkan salah guna geran untuk tujuan peribadi dan dokumen palsu.

Ia meliputi permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang didakwa dilaksanakan oleh penerima geran berkenaan dari 2019 hingga tahun ini.

Siasatan agensi antirasuah mendapati Mitra mengeluarkan peruntukan untuk 337 program bernilai lebih RM203 juta sejak 2019.

Mitra ditubuhkan tujuan asal untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India. – 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen