750 dimasukkan ke hospital kerana Covid-19 semalam, lapor KKM


Ravin Palanisamy

MALAYSIA menyaksikan penurunan kemasukan ke hospital Covid-19 buat hari ketiga berturut-turut apabila Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 750 kemasukan baharu semalam.

Buat hari ke-15 berturut-turut negara mencatat kemasukan bawah 1,000 sejak 6 Januari yang menyaksikan 920 orang dirawat kerana Covid-19.

Kemasukan semalam juga merupakan yang terendah sejak 10 hari terakhir, yang pada 10 Januari lepas melaporkan 748 kemasukan.

Laman web CovidNow menunjukkan penggunaan hospital menurun kepada 62.2 peratus semalam berbanding 64.3 peratus sehari sebelum, manakala kadar guna katil untuk kes koronavirus menurun kepada 24.6 peratus daripada 25.4 peratus pada sehari sebelum.

Penggunaan ventilator adalah pada 33.4 peratus manakala penghunian unit rawatan rapi (ICU) berada pada 54 peratus, di mana 18.4 peratus adalah disebabkan koronavirus.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk penghunian katil serta bilangan pesakit di ICU dan ventilator.

Lembah Klang terus mencatatkan bilangan kemasukan terbanyak iaitu 220. Selangor menyumbang 190 daripadanya, Kuala Lumpur (27) dan Putrajaya (3).

Penggunaan katil hospital di Lembah Klang, termasuk untuk kes bukan Covid, menurun kepada 48.4 peratus semalam daripada 57.1 peratus sehari sebelumnya.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Johor (179), Sabah (95), Kelantan (58), Negeri Sembilan (45), Sarawak (45), Perak (27), Kedah (24), Pahang (22), Terengganu (17), Pulau Pinang (9), Melaka (5) dan Perlis (4).

Labuan tidak melaporkan sebarang kemasukan baharu semalam.

Melaka mencatat penggunaan katil hospital tertinggi pada 83.6 peratus, satu-satunya negeri dengan kadar guna katil melebihi 80 peratus.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan 3,764 kes baharu Covid-19 semalam, tertinggi sejak tiga minggu lepas.

Daripada kes baharu itu, Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor (894), Kuala Lumpur (476) dan Putrajaya (20) mencatatkan gabungan 1,390 atau 37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Negeri dan wilayah lain yang turut melaporkan kes baharu ialah Johor (414), Kelantan (360), Kedah (275), Sabah (256), Pahang (244), Pulau Pinang (225), Negeri Sembilan (218), Melaka (167), Perak (124), Terengganu (65), Sarawak (14), Perlis (11) dan Labuan (1).

Kes aktif di negara ini sekali lagi meningkat sebanyak 488 kepada 41,617 selepas 3,254 kes pulih dilaporkan semalam.

Antara kes aktif itu, 34,722 pesakit kuarantin di rumah, 4,048 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 2,687 di hospital.

Terdapat 160 pesakit di ICU, 72 daripadanya menggunakan ventilator. – 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen