MALAYSIA menyaksikan peningkatan kematian harian akibat Covid-19 apabila negara mencatatkan 22 kematian semalam berbanding 13 kematian pada hari sebelum, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Lima daripada 22 maut semalam diklasifikasikan sebagai maut sebelum tiba di hospital (DOA).
Semua kematian adalah kes tertunda seperti yang dipaparkan pada portal GitHub KKM.
Angka kematian harian ialah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari tertentu dan ditambah kes yang baru disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan disebabkan oleh Covid-19.
Daripada jumlah kematian baharu yang dilaporkan, Selangor mencatatkan jumlah kematian terbanyak dengan tujuh, diikuti Perak dengan tiga.
Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu masing-masing melaporkan dua kematian, manakala Kedah, Kelantan, Pahang dan Sarawak masing-masing satu.
Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan sebarang kematian berkaitan koronavirus.
Manakala daripada lima kes DOA, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Selangor masing-masing menyumbang satu.
Kadar kematian Covid-19 tempatan adalah pada 0.5 peratus, manakala purata kematian akibat jangkitan adalah lima bagi setiap sejuta orang. – 21 Januari, 2022.
Komen